Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengetuai majlis pengurniaan darjah dan pingat kebesaran dengan dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) membawa gelaran Datuk. Gambar fail Harian Metro
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seramai 102 individu dianugerahkan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengetuai majlis pengurniaan darjah dan pingat kebesaran dengan dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) membawa gelaran Datuk.

Turut menerima gelaran Datuk ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani serta Ketua Juruterbang Sultan Johor, Major Abu Samah Safie yang dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ).

Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DKII) pula dikurniakan kepada Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkurnain Sultan Idris Shah.

Seramai 32 penerima dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) termasuk Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Rahim Nin; Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Juruiring Polis Sultan Johor, Superintendan Sugumaran Raman dan Juruiring Permaisuri Johor, Superintendan Rupeah Abdul Wahid.

Turut dianugerahkan SIJ adalah Pengarah Tanah dan Galian negeri, Mohd Halim Hasbullah; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Mohd Rofiki Shamsudin dan 10 pegawai daerah.

Bagi penerima pingat kebesaran, Sultan Johor berkenan menganugerahkan lima anakanda baginda dengan Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (PSI I) diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Tun Aminah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Dianugerahkan pingat yang sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Selain itu, seramai 51 penerima dianugerahkan PSI Pangkat Kedua (PSI II) dan lapan penerima PSI Pangkat Ketiga (PSI III).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 1:30 AM