TERDAPAT banyak bahan bacaan di pasaran yang boleh digunakan bagi membaiki kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu. - Gambar hiasan
APABILA sesuatu kaum boleh berkomunikasi dan memperoleh apa yang mereka mahukan dalam bahasa lain selain daripada bahasa Melayu, menguasai bahasa ini dengan baik bukan menjadi keutamaan. - Gambar hiasan
UNTUK menguasai bahasa Melayu dengan baik, pelajar perlu mempunyai sikap positif serta disiplin diri menggunakan bahasa Melayu betul dan tepat. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


BAHASA Melayu menjadi bahasa kebangsaan negara sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 iaitu 58 tahun lalu sebagai bahasa pengantar dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Malangnya, dalam tempoh menghampiri enam dekad itu, ada yang masih gagal atau terkial-kial menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Medium komunikasi menggunakan bahasa Melayu yang lintang-pukang manakala generasi muda pula lebih mengagungkan bahasa Inggeris atau bahasa ibunda masing-masing berbanding bahasa Melayu yang dianggap bahasa picisan.

Lebih mengejutkan apabila kajian Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu mendapati ramai pelajar bukan Melayu tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kajian itu dilakukan Penyelidik Utama ATMA, Datuk Profesor Dr Teo Kok Seong yang membabitkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Hasil kajian yang dilakukan terhadap 14,000 pelatih di 79 kem PLKN di seluruh negara mendapati 604 pelatih bukan Melayu langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Ini yang mengecewakan sedangkan permuafakatan pelbagai kaum untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi Perlembagaan Negara yang tercatat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

Justeru, di manakah silapnya?

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Profesor Madya Dr Supyan Hussin berkata, masalah tidak tahu atau kurang fasih berbahasa Melayu tidak seharusnya wujud dalam kalangan masyarakat kerana ia bahasa rasmi negara ini.

Beliau berkata, kegagalan bertutur bahasa Melayu dengan baik bukan saja boleh mengikis imej dan jati diri sebagai warganegara malah mewujudkan jurang dalam masyarakat.

"Sebagai rakyat Malaysia apatah lagi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, masalah kefasihan bertutur tidak harus berlaku.

"Bahasa ini sudah digunakan secara meluas, justeru tentu ia menjadi medium komunikasi utama yang perlu dituturkan dengan baik," katanya.

Mengenai kegagalan pelajar bertutur dengan baik, katanya ia berlaku apabila mesej yang disampaikan gagal difahami rakan perbualan.

"Dalam konteks tidak formal, jika sesuatu mesej itu boleh difahami walaupun diperkatakan dalam dialek atau slanga sehingga melanggar nahu maka ia dianggap 'tidak gagal'."

"Dengan itu, jika ada pelajar Melayu dan bukan Melayu tidak menggunakan bahasa rasmi atau baku dalam konteks tidak formal, ia bukan dikira sebagai satu 'kegagalan'."

"Namun, kegagalan itu tidak hanya berlaku pada pelajar bukan Melayu semata-mata kerana pelajar Melayu juga menghadapi masalah sama," katanya.

Beliau berpendapat, dalam konteks formal, kemampuan menggunakan bahasa Melayu yang baik adalah satu tuntutan termasuk dalam penulisan.

Manakala dalam konteks tidak normal, katanya, bahasa Melayu mudah dituturkan warga asing yang datang ke negara ini.

"Dalam penulisan tugasan termasuk tesis, penguasaan bahasa Melayu yang betul dan tepat adalah satu keutamaan.

"Namun masih ada pelajar Melayu gagal menggunakan bahasa dengan betul sama ada di peringkat sekolah atau universiti.

"Dalam konteks tidak formal, warga asing boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang mudah difahami masyarakat sekali gus menunjukkan bukan sesuatu yang sukar menguasai bahasa itu," katanya yang turut berpendapat isu penguasaan bahasa Melayu dengan baik bergantung kepada tujuan penggunaan bahasa itu.

"Jika bahasa Melayu diperlukan bagi tujuan komunikasi serta peluang dalam pekerjaan, kaum mana sekalipun akan berusaha menguasai bahasa Melayu.

"Di Malaysia, apabila sesuatu kaum boleh berkomunikasi dan memperoleh apa yang mereka mahukan dalam bahasa lain selain daripada bahasa Melayu, menguasai bahasa ini dengan baik bukan keutamaan," katanya.

Merujuk kegagalan pelajar menguasai bahasa Melayu dengan baik, katanya kegagalan adalah satu konsep relatif.

Dalam komunikasi harian, katanya, bahasa basahan atau slanga tidak dianggap bahasa yang rosak kerana konteks perbualan adalah tidak formal.

"Secara tabienya, bahasa basahan termasuk dialek daerah tidak dianggap 'gagal' jika mesej yang ingin disampaikan boleh difahami rakan dalam perbualan.

"Dari sudut sosiolinguistik, ketepatan berbahasa dalam konteks tidak formal tidak menjadi fokus utama sebaliknya yang menjadi keutamaan ialah kelancaran serta mesej yang boleh difahami," katanya.

Bagi membantu pelajar bertutur bahasa Melayu dengan baik, syarat utama ialah sikap dan disiplin yang positif.

"Penutur hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku sekerap mungkin dalam konteks tidak formal seperti Facebook atau perbualan harian.

"Pelajar juga boleh belajar menguasai aspek linguistik bahasa Melayu sebagai tanda ia menguasai bahasa Melayu.

"Tetapi, ia tidak membawa makna yang besar jika pelajar gagal menggunakan bahasa itu dalam konteks komunikasi harian kerana belajar bahasa tanpa amalan menutur dan menulis menjadikan bahasa Melayu itu kaku, kasar, dan tidak berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:00 AM