Keratan laporan semalam kemalangan yang mengorbankan empat mangsa termasuk yang terkini Yajid. (Gambar kecil) Mohd Zahid. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Selepas hampir 18 jam dirawat, Yajid Ismail, 82, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, 11.30 pagi tadi.

Arwah adalah mangsa terkini maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Tok Kaya, Pulai Chondong, Machang petang semalam yang mengorbankan isteri, anak dan cucunya.

Seorang lagi cucunya berusia lima tahun masih menerima rawatan, manakala dua lagi sudah dibenarkan pulang.

Anak Allahyarham, Mohd Zahid, 47, berkata, bapanya yang mengalami kecederaan serius di muka dan badan dirujuk ke HUSM dari Hospital Machang pada 11 malam tadi.

“Anak saudara, Mohd Zarith Haqeem, 5, yang parah turut dirujuk HUSM, namun ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dua lagi (usia sembilan dan dua tahun) yang cedera ringan sudah dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui di Kampung Teras, Binjai di sini, hari ini.

Menurutnya, jenazah ibunya Azizah Zakaria, 74, adiknya, Siti Rohani, 35, dan anak Siti Rohani, Mohd Zahirul Fitri Mohd Hasrul Nizam, 11, akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras, 3 petang ini.

Dalam kejadian 4 petang semalam, tiga sekeluarga maut, dua parah dan dua lagi cedera apabila kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka bertembung Mercedes Benz.

Orang awam melihat kejadian turut membantu mengeluarkan semua mangsa sebelum kereta terbabit terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 12:58 PM