NEELOFA berjaya sebagai ahli perniagaan - FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa bakal menghiasi majalah berprestij, Forbes Asia yang memaparkan ahli perniagaan berpengaruh dari seluruh dunia.

Difahamkan, pemilihan Neelofa, 28, yang juga Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd untuk muncul dalam majalah berinformasikan perniagaan itu bersandarkan kejayaan perniagaannya.

Ia bermula dengan perniagaan suplemen kecantikan, kanta lekap berwarna, jubah dan tudung.

Terdahulu, Neelofa memuat naik gambar dia sedang menjalani sesi fotografi untuk majalah berkenaan di akaun Instagramnya, baru-baru ini.

Foto yang dikongsinya itu mendapat perhatian ramai pengikut di laman sosial berkenaan yang memberi pelbagai maklum balas positif berhubung berita itu.

Bagaimanapun, Neelofa dikatakan belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci mengenai perkara itu.

Menurut sumber, dia akan membuat pengumuman mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 5:19 PM