MOHAMAD Zainal (kiri) menunjukkan dadah serta barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan Polis
Mohd Hafizee Mohd Arop


Seri Iskandar: Polis menahan lelaki dan merampas 35.8 gram dadah jenis heroin dan 2.62 gram dadah jenis syabu di Kampung Gajah, 11.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan suspek berusia 33 tahun selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan pada beg sandang dibawanya.

Katanya, pemeriksaan dalam beg berkenaan menemui 13 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin dan tiga paket plastik berisi bahan disyaki syabu.

"Polis kemudiannya menahan suspek dan merampas kesemua dadah berkenaan, selain turut merampas satu alat penimbang elektronik, telefon jenama Samsung dan Lenovo serta dompet duit mengandungi wang tunai campur-campur berjumlah RM150.

"Ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morfin dan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah," katanya.

Mohamad Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 6:39 PM