Hanafis Abdul Haris


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Kempen #BolehBincang bagi memberi peluang peminjam bermasalah membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi kempen itu, peminjam khususnya lebih 663,000 yang culas membayar kini berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada empat saluran utama disediakan.

Beliau berkata, antaranya adalah talian ‘Careline’, perbincangan dengan Eksekutif Pemasaran PTPTN, rundingan di pejabat dan cawangan PTPTN serta kaunter di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) .

“Bagi talian Careline PTPTN di 03-2193 3000, kami sudah melanjutkan waktu operasi perkhidmatan dan peminjam boleh menghubungi seawal 8 pagi hingga 10 malam tujuh hari seminggu termasuk Sabtu dan Ahad. Seramai 168 pegawai ditugaskan bagi perkhidmatan ini.

“Selain itu peminjam boleh berbincang dengan lebih 500 Eksekutif Pemasaran PTPTN seluruh negara. Mereka boleh dihubungi melalui nombor telefon bimbit yang diperoleh melalui portal rasmi PTPTN,” katanya.

Menurutnya, selain itu peminjam juga boleh melakukan perbincangan di 70 pejabat dan cawangan PTPTN termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pusat membeli belah terpilih.

“Bagi mereka yang akan keluar negara kami turut membuka kaunter di klia2 bagi memudahkan peminjam disenarai hitam membayar pinjaman mereka,” katanya.

Beliau berkata, dengan memperkenalkan Kempen #BolehBincang, PTPTN mengharapkan lebih ramai peminjam tampil untuk berbincang dan berunding.

“Kami lancarkan kempen ini supaya orang ramai tahu PTPTN sentiasa memberi ruang untuk membantu menyelesaikan masalah peminjam. Bukan hanya membantu menyelesaikan masalah hutang mereka, malah apa juga permasalahan yang timbul berkaitan pinjaman PTPTN.

“Malah menerusi platform ini segala permasalahan dapat diselesaikan melalui perbincangan daripada menularkan sesuatu isu di laman sosial hingga menimbulkan pandangan negatif terhadap PTPTN,” katanya pada sidang media bersempena Pelancaran Kempen #BolehBincang di sini, hari ini.

Dalam majlis terbabit beberapa wakil persatuan belia di Malaysia turut dijemput bagi mengadakan sesi perbincangan berhubung isu berkaitan PTPTN.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata, PTPTN turut mensasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion pada tahun ini.

“Kutipan tahun lalu meyakinkan kami terhadap keupayaan membayar balik oleh peminjam apabila sebanyak RM3.4 billion berjaya dikutip dan ia melebihi daripada sasaran sebenar iaitu RM2 bilion.

“Sehubungan itu, tahun ini kita sasar RM4 bilion dan harap dengan Kempen #BolehBincang ini dapat melepasi jumlah terbabit,” katanya.

Sementara perwakilan belia Kuala Lumpur dalam Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Saufi Mohd Arif, berkata, sesi perbincangan selama hampir satu jam itu banyak membuka matanya mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar PTPTN.

Menurutnya, saluran disediakan PTPTN ini harus dijelaskan secara lebih meluas kepada peminjam supaya persepsi negatif terhadap PTPTN yang dikatakan terlalu tegas dapat diubah.

“Saya sebagai peminjam PTPTN juga berbesar hati mendengar penjelasan yang sebenarnya tidak ramai tahu. Nasihat saya kepada yang culas membayar hutang PTPTN supaya segeralah berbuat demikian kerana tindakan kita ini akan memberi kesan kepada adik-adik yang bakal memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) kelak,” katanya.

Gambar dan Video Khairus Ramli (telegram Tun)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 9:35 PM
SHAMSUL (tengah) bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff (tiga kanan) dan wakil persatuan belia Malaysia melancarkan Kempen #BolehBincang.