RIBUT melanda Mukim Kupang menyebabkan rumah rosak. FOTO insan Mohd Sofian Elias
Safuri Kamarudin


Baling: Sekurang-kurangnya 48 rumah di 11 kampung dalam Mukim Kupang, di sini, terjejas akibat ribut, 6 petang tadi.

Kampung yang terbabit adalah Kampung Ketemba Masjid, Kuala Balut, Thai Tas, Sadik/Bukit Tinggi, Charok Salang, Tanjung, Padang, Bukit Hitam,Pekan Kupang dan Kampung Baru Kuala Pegang.

Difahamkan, hujan lebat disusuli ribut kira-kira setengah jam menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak termasuk akibat ditimpa pokok tumbang dan bumbung tercabut dan diterbangkan angin sejauh 50 meter.

Seorang mangsa, Mohd Shukur Abd Aziz,30,dari Kampung Ketemba Masjid berkata, kejadian ribut itu menyebabkan rumahnya ditimpa pokok bacang sebesar satu pemeluk.

Beliau berkata, kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan bawah bumbung turut dihempap dahan pokok itu hingga rosak.

"Ketika kejadian ribut saya tidak ada di rumah dan terkejut selepas dimaklumkan keluarga mengenainya.

"Saya bergegas pulang dan terkejut melihat pokok bacang sebesar satu pemeluk menghempap rumah dan bangsal kereta,"katanya.

Mohd Shukur berkata, beliau bersyukur kerana isteri Norhidayah Abd Razak, 27, dan seorang anaknya selamat dalam kejadian itu.

"Mujurlah isteri dan anak saya selamat meskipun mereka masih trauma dengan kejadian itu kerana berada di dalam rumah ketika pokok itu tumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 9:49 PM