AFP

Dortmund, Jerman: Gareth Southgate tetap gembira dengan persembahan positif sekalipun mengalami kekalahan pertama sebagai pengurus England, 0-1 kepada Jerman di Dortmund, awal pagi semalam.

Southgate, 46, tidak kalah dalam empat perlawanan sebagai pengurus sementara berikutan pemergian mengejut Sam Allardyce tahun lalu.

“Saya mendapat rangsangan di sebalik keputusan ini,” tegas Southgate.

“Memang tidak seronok kalah, tapi saya gembira dengan cara mereka beraksi dan bagaimana sistem taktikal kami menjadi.”

Southgate menyanjung gol kemenangan Lukas Podolski pada babak kedua ketika aksi terakhirnya bersama Jerman, namun menegaskan England membayangi juara dunia itu dalam tempoh yang lama.

“Ia jaringan menakjubkan, tapi daripada pandangan Joe Hart (penjaga gol) ia memang tidak boleh diselamatkan,” akui Southgate.

Gary Cahill mengetuai England dalam benteng tiga pemain di samping Chris Smalling dan Michael Keane, yang melakukan penampilan sulungnya.

Pemain Southampton, James Ward-Prowse dan Nathan Redmond turut meraih penampilan sulung bersama England.

“Saya fikir kami pasukan yang bagus hinggalah gol kemenangan mereka, ia satu pengalaman berguna buat pemain muda yang tampil kali pertama,” jelas Southgate.

“Apa yang tiada adalah penyudah untuk gol kemenangan yang sepatutnya menjadi milik kami.”

England akan menentang Lithuania di Wembley pada kelayakan Piala Dunia, awal pagi Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:24 AM