AFP

Doha: Valentino Rossi akan memburu kejuaraan dunia ke-10 sekalipun dicabar pelumba muda termasuk rakan sepasukan baru Yamaha, Maverick Vinales ketika musim MotoGP 2017 membuka tirai di Qatar, hujung minggu ini.

Litar Losail di Doha akan menjadi hos satu-satunya perlumbaan malam dalam kalendar 18 perlumbaan tahun ini.

Litar berpasir dan terdedah kepada angin di pinggir Doha itu satu daripada litar yang amat difahami penunggang Itali berusia 38 tahun itu, selepas menang empat kali pada 2005, 2006, 2010 dan 2015.

Namun pelumba veteran Yamaha itu, pemenang tujuh kejuaraan MotoGP dunia dan dua dalam 125cc dan 250cc, gagal menjejak podium di Doha tahun lalu dengan bekas rakan sepasukan Jorge Lorenzo muncul juara.

Karier gemilang Rossi selama 20 tahun dibelenggu kekecewaan akhir-akhir ini dan dia tidak memenangi sebarang kejuaraan dunia sejak 2009.

Dia berakhir sebagai naib juara keseluruhan bagi tiga tahun terakhir berikutan permusuhan sengit dengan Lorenzo, 29, malah Rossi mendakwa penyandang juara dunia Marc Marquez terbabit dengan konspirasi membantu Lorenzo muncul juara pada 2015.

Lorenzo sejak itu berpindah ke Ducati, membolehkan bintang sedang meningkat Vinales menyertai Rossi di Yamaha, manakala Andrea Iannone memberi laluan di Ducati untuk berpindah ke Suzuki.

Vinales terbukti mampu menjadi pencabar penunggang veteran itu apabila dia mengatasi Rossi ketika ujian musim sejuk di Sepang, Phillip Island dan Qatar awal bulan ini.

“Saya masih belum pantas dan perlu bekerja keras,” ujar Rossi.

Rekod enam pelumba memenangi perlumbaan Grand Prix pada 2016 dan Rossi menjangkakan saingan terbuka.

“Saya fikir sekurang-kurangnya enam penunggang boleh menang tahun ini,” tegas Rossi.

“Ia pasti amat menarik musim ini kerana tiga penunggang utama bertukar motosikal.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:29 AM