Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim (kiri) bersama keluarga Azlin di rumah komuniti Taman Cendana. - Foto MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Kesempitan hidup seorang wanita yang menyebabkan empat anaknya tidak ke sekolah, bertambah buruk apabila dia bukan saja disahkan menghidap barah pangkal rahim, malah anak sulungnya dibuang kerja dan dia sendiri kehilangan pekerjaan.

Hidup keluarga itu kini tambah sengsara selepas diusir dari bilik sewa di Taman Megah Ria, Johor Bahru, kelmarin.

Kini, Azlin Othman, 42, dan enam anak berusia antara lima hingga 21 tahun, hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan anak perempuan kedua, kira-kira RM1,100 sebulan.

Azlina berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja pembersihan sejak dua bulan lalu, selepas disahkan menghidap barah pangkal rahim tahap pertama ketika pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurutnya, anak lelaki sulungnya dibuang kerja selepas bercuti seminggu, bagi menjaganya.

Katanya, dia yang digantung tidak bertali sejak akhir tahun lalu, gagal mendapatkan rawatan susulan kerana tidak mampu membiayai kos perjalanan ke HSI.

“Saya ada lapan anak, termasuk dua yang dijaga saudara-mara di Kulai dan Pasir Gudang.

“Akibat masalah kewangan keluarga, empat anak yang tinggal bersama saya tidak bersekolah sejak awal tahun.

“Nasib kami juga umpama jatuh ditimpa tangga apabila diusir dari bilik sewa di Taman Megah Ria, Masai, kelmarin, selepas gagal menjelaskan tunggakan sewa RM300," katanya.

Nasib malang Azlina dan cahaya matanya menerima perhatian Jawatankuasa Penduduk Perwakilan Penduduk Taman Cendana yang menawarkan tempat perlindungan sementara di rumah komuniti di di Taman Cendana di sini, sejak malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, pihaknya akan mengemukakan masalah wanita itu kepada pihak berkaitan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 12:25 PM