Sarah Zulkifli


Petaling Jaya : Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya di sebuah pangsapuri di Sungei Way, di sini, pada 14 Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Gloria Erren Liwie, 23, berasal dari Sarawak sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia yang mempunyai seorang anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak itu, jam 1 tengah hari dan 4 petang di Blok A Apartmen Impian Baiduri dan dakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh denda, jika disabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan selain dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 24 April ini sebagai sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian itu, kanak-kanak malang berkenaan didapati tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan tertuduh dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.40 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, akibat didera.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang dan menetap di Sea Park di sini, dikatakan menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh kira-kira jam 1 petang dan mengambil anaknya tiga jam kemudian sebelum mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 1:03 PM