Detik Khalid Masood, 52, ditembak polis selepas menikam mati seorang anggota polis dekat bangunan Parlimen Britain. - Foto DM
Agensi

London: Khalid Masood, 52, yang mati ditembak polis selepas merempuh orang ramai dengan kenderaan pacuan empat roda di atas Jambatan Westminster dan menikam mati seorang polis, adalah guru bahasa Inggeris di sini.

Sebelum mati ditembak polis, mangsanya yang terbunuh ialah ialah wanita beranak dua, Aysha Frade, 43, anggota polis Keith Palmer, 48, pelancong Amerika Kurt Cochran, 54, dan seorang lelaki 75 tahun yang belum dinyatakan identitinya.

Lokasi mangsa yang maut akibat dirempuh dengan kenderaan pacuan empat roda Hyundai Tucson oleh Khalid Masood di atas Jambatan Westminster.

Menurut laporan The Sun, lelaki itu yang tinggal di sebuah flet di kawasan Birmingham, mempunyai ijazah ekonomi dan mengajar Bahasa Inggeris di Yanbu, Arab Saudi, pada 2005.

Apabila dia pulang ke Britain pada 2009, Khalid menjadi guru bahasa Inggeris kanan di sebuah kolej TEFL di Luton.

Dilahirkan di Kent, tenggara England, dan tinggal di West Midlands. polis berkata, Khalid yang mempunyai beberapa kesalahan jenayah kecil, antara 1983 hingga 2003, termasuk serangan dan mencederakan namun tidak pernah dimasukkan dalam senarai pemantauan pengganas sehinggalah tindakannya merempuh orang ramai dan menikam mati polis dekat bangunan Parlimen.

Menurut SkyNews, lelaki itu berkahwin dan mempunyai tiga anak dan pada 2012 dia membuka kelas tuisyen sendiri di West Midlands.

Khalid yang membesar di Rye, East Sussex, melakukan jenayah pertama pada November 1983, ketika berusia 19 tahun dan pada 2003, menikam muka seorang lelaki berusia 22 tahun di Eastbourne. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan plastik manakala Khalid dipenjarakan.

Semalam, polis London menyerbu beberapa premis dan menahan beberapa orang untuk siasatan yang dipercayai ada kaitan dengan Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 4:25 PM