PEMAIN China diasak pemain Korea Selatan (tengah) ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018.

Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 Asia menarik perhatian dengan beberapa perlawanan yang menakjubkan. Secara automatik, empat pasukan akan layak sementara dua lagi pasukan akan bertembung pada perlawanan playoff sebelum satu lagi playoff menentang pasukan dari CONCACAF.

Kehangatan perlawanan keenam dirasakan terutama sekali di China yang mana pasukan kebangsaannya kini di bawah bimbingan Marcello Lippi beraksi matang untuk menewaskan Korea Selatan. Juara dunia bersama Itali pada 2006, Lippi jelas membawa kelebihan kepada China.

China mempamerkan disiplin taktikal yang begitu tinggi apabila beraksi begitu mantap dan memaksa Korea untuk lebih membuat hantaran lambung dari sayap. Satu-satunya corak permainan yang tidak begitu selesa dilakukan Korea. China menyekat pemain Korea beraksi di antara barisan tengah serta pertahanan. Sudah kelihatan bagaimana seorang jurulatih bertaraf dunia dapat meletak kesimpulan Catenaccio dalam kalangan pemain beliau.

Strategi permainan defensif ini menjadi darah daging serta identiti bola sepak Itali dan pemain China sudah mengorak langkah memahami konsep permainan itu. Tidak hairanlah betapa sukar Korea untuk menyusun serangan. Mereka terpaksa beraksi seperti ‘kehendak’ pasukan China. Dengan kemenangan itu, China masih menduduki tangga kelima Kumpulan A dan mempunyai peluang tipis untuk layak ke peringkat seterusnya tetapi jelas Lippi sudah mula membina satu pasukan yang kebal untuk Piala Asia 2019.

Sementara itu, Jepun mula bangkit dengan mengalahkan tuan rumah UAE. Jepun yang mengalami kekalahan di tangan UAE di Saitama pada September 2016 kini bangkit dengan persembahan dinamik. Pengurus pasukan Vahid Halilhodzic melakukan lapan pertukaran dan menurunkan penyerang dinamik seperti Yuya Kubo serta Yuya Osako.

Kedua-dua penyerang ini yang beraksi di luar negara Jepun sudah mempamerkan persembahan ‘perpetual motion’ dan begitu sukar untuk dikunci oleh pertahanan lawan. Penyerang dari kelab Gent di Belgium, Kubo menjadi satu ‘outlet’ setiap kali pasukan Jepun mengawal bola. Gerak geri Osako yang beraksi di Bundesliga bersama kelab FC Koln pula mengelirukan pertahanan tengah UAE kerana dia bijak dengan “timing” larian.

UAE pula tumpul tanpa Ahmed Khalil yang digantung perlawanan. Tanpa kepantasannya maka penyerang lain seperti Ismael Matar dan Ali Ahmed Mabkhout yang lebih gemar menerima bola, memberi peluang pertahanan pasukan Jepun bertahan pada garisan tinggi. Kekurangan kepantasan Maya Yoshida tidak sekali diberi tentangan manakala perancang utama UAE, Omar Abdulrahman tenggelam di bahagian tengah.

Sementara itu, Thailand pula ditundukkan Arab Saudi walaupun beraksi baik. Persoalan kekuatan Thailand sekali lagi dipertikaikan tetapi jelas pasukan itu menunjuk perkembangan. Namun di tahap tertinggi bola sepak Asia, Thailand masih lagi ketinggalan.

Langkah seterusnya pula untuk bermula ‘eksport’ pemain tempatan ke liga yang lebih kompetitif. Pemain Thailand sudah berada di tahap terbaik dan seterusnya harus mempunyai cita-cita ke satu lagi tahap. Mungkin Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) boleh berusaha mencari kelab di Eropah seperti Belgium, Austria atau Switzerland supaya pemain mereka dapat pendedahan mental serta fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 10:44 AM