MASJID Jama antara binaan tersohor di India.
Rashidah Ibrahim

Selain Taj Mahal dan Kubu Merah Agra, pencinta seni bina yang berkunjung ke India tidak harus ketinggalan singgah di Masjid Jama di Chandni Chowk, New Delhi.

Ada persamaan Masjid Jama di Delhi dengan Masjid di Kubu Merah Agra terutama dari segi bahan binaan, reka bentuk dan pelan menunjukkan terdapat perkaitan di antara kedua-duanya.

Ia terbukti apabila pengasasnya adalah orang sama iaitu Maharaja Mughal, Shah Jahan yang membina istananya di Kubu Merah Agra.

Disebabkan kesedihan berpanjangan kerana kemangkatan isteri tercinta, Shah Jahan mengambil keputusan berpindah dari Agra ke Delhi dan mengasaskan bandar Shahjahanabad sebagai ibu negara Mughal menggantikan Agra. Shahjahanabad kini dikenali Delhi Lama.

Nama sebenarnya, Masjid-i-Jahan-Numa terletak di tengah Delhi Lama bersetentang Kubu Merah. Pada zaman Shah Jahan, ia digelar Masjid Tengah Delhi Lama tapi kini lebih dikenali Masjid Jama dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut laman culturalindia.net, nama Jama mengambil sempena perkataan ‘Jummah,’ merujuk aktiviti solat di situ. Setiap Jumaat penuh sesak dengan jemaah. Pada hari raya, beribu-ribu umat Islam membanjirinya untuk menunaikan solat Aidilfitri.

Dibina dari tahun 1644 hingga 1656, Masjid Jama dikatakan antara terbesar dan tersohor di India. Bahagian berbumbung terletak di tepi manakala di tengahnya terbuka dengan dataran solat 37.904 meter persegi (408 kaki persegi), boleh menampung sehingga 25,000 jemaah.

Bangunan masjid tertutup terletak di sebelah kanan gerbang pintu masuk. Menampilkan tarikan menerusi dua menara utama di kiri dan kanan berketinggian 40 meter daripada batu pasir merah asli dan marmar putih, juga terdapat kubah, tiga pintu masuk dan menara lain.

Di dalam menara mengandungi 130 anak tangga. Hanya satu menara di selatan dibuka kepada awam dengan bayaran. Di puncaknya menawarkan panorama bandar Delhi menghala Rumah Parlimen.

Kelihatan ramai pelancong keluar masuk dari pintu gerbang berkaunter. Melangkah ke dalam, pengunjung terdapat di serata bahagian masjid menghayati seni binaannya. Sebahagiannya duduk menghilang lelah di tembok kolah dan lantai masjid.

Pelan lantai Masjid Jama dikatakan sama dengan masjid di Agra. Lantai dalaman dihiasi marmar hitam putih dengan motif seperti sejadah, ditampilkan oleh garis hitam tebal 0.91 meter panjang dan 0.46 meter lebar sebagai tanda ruang solat, semuanya berjumlah 899 petak.

Kehebatan reka bentuk digarap Shah Jahan dengan struktur agar mencuri tumpuan pada pandangan pertama. Bangunan dibina di atas tapak yang ditinggikan dan masjid itu boleh dimasuki melalui tangga dari tiga arah iaitu timur 35 anak tangga, utara (39) dan selatan (33).

Gerbang besar di timur adalah pintu masuk diraja, ditutup pada hari minggu. Bumbungnya dikemasi oleh tiga kubah dengan garis hitam putih marmar.

Sebagaimana Kubu Agra, masjid ini dibina daripada batu pasir merah dan marmar putih yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 12:04 PM