DIPELAWA berlakon dalam Munafik 2 peluang terbaik belajar dengan pengarah hebat.
Rudy Imran Shamsudin


Selepas berduet bersama dalam dua lagu, Kalah Dalam Menang dan Bukan Propaganda, hubungan persahabatan yang terjalin antara pelakon dan pengarah Syamsul Yusof dengan Mawi dilanjutkan pula untuk filem Munafik 2.

Tentunya kehadiran Mawi dalam filem terbaru arahan Syamsul itu menjadi satu berita baik untuk peminat mereka memandangkan keserasian terbukti menghasilkan sesuatu yang bagus.

Lagu Kalah Dalam Menang juga ciptaan Syamsul, layak ke Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada awal Januari lalu.

Ditemui ketika pelancaran Munafik 2 baru-baru ini, Mawi atau Asmawi Ani yang turut menjadi penerbit dan pernah mengarah drama menjelaskan, pada peringkat awal dia ditawarkan watak pembantu.

Katanya, sebagai penggiat yang turut menjadi penerbit dan pernah berlakon filem sebelum ini dan mengarah drama, dia melihat pelawaan Syamsul satu peluang untuk dia belajar.

“Saya tidak saja berlakon dalam Munafik 2 malah dapat belajar sesuatu dengan Syamsul yang hebat dalam pengarahan hingga beberapa kali menang anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).

“Disebabkan mahu menimba pengalaman, saya tidak kesah ditawarkan watak kecil. Bagaimanapun apabila melihat sinopsis dan skrip, tidak sangka pula watak saya sudah bertambah dan dibesarkan,” katanya.

Mawi yang juga juara program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) berkata, Syamsul memilihnya untuk membintangi Munafik 2 atas faktor persahabatan.

Katanya, dia bertanya Syamsul mengapa memilihnya sedangkan ramai lagi pelakon hebat dan berjaya di layar perak.

“Kata Syamsul kepada saya, dia mahu cuba lahirkan sesuatu dari dalam diri saya dan mahu menonjolkan sisi berbeza Mawi.

“Saya tidak tahu apa yang dia nampak dalam diri saya, tetapi saya tidak sabar untuk melihat apa yang mahu ditonjolkan Syamsul pada saya. Ini yang membuatkan saya teruja menjayakan Munafik 2,” katanya.

Apa pun, Mawi berkata, keterujaan itu menimbulkan kebimbangan memandangkan sudah lama dia tidak beraksi di layar lebar, kali terakhir menerusi filem Magika dan Jin Notti.

Menerusi sedikit pengalaman, Mawi yakin apabila bekerja di samping Syamsul, banyak lagi ilmu yang boleh dicungkil.

Bukan itu saja, kata Mawi, dia berazam mahu banyak bertanya sepanjang Syamsul mengarahkan Munafik 2 bagi melihat dan memahami selok-belok pembikinan filem.

“Saya percaya kerana kami berkawan juga rasanya Syamsul tidak akan lokek ilmu untuk berkongsi dan mengajar saya. Insya-Allah dengan ilmu yang diberikan mana tahu saya dapat gunakan untuk memperbaiki karya saya di bawah produksi Mawi World nanti,” katanya.

Selain itu, kata Mawi, dia setuju dengan pandangan kerana sudah bersahabat jadi mudah untuk dia bekerja dengan Syamsul.

“Mungkin disebabkan itu juga Syamsul mengambil saya bekerja dengannya. Lagipun apabila kita sudah kenal, tidak perlu bersusah payah untuk mencari keserasian.

“Kalau tidak pernah kenal karakter atau perangai itu, memang susah sikit. Walaupun ini kali pertama saya bekerja dalam filem dengan Syamsul, sebelum ini sewaktu bekerja di studio rakaman, kami sudah selalu bersama dan boleh dikatakan hampir setiap hari. Sikit sebanyak perkara itu memang membantu,” katanya.

Mawi juga berharap kerjasama selepas Kalah Dalam Menang dan Bukan Propaganda akan diteruskan apabila lagu terbaru duet mereka akan dihasilkan sebagai runut bunyi filem Munafik 2.

Kata Mawi, sudah tentu dia gembira apabila kehadiran mereka di pentas AJL31 menjadi perhatian apatah lagi diramalkan tempat ketiga.

Tidak kurang juga yang memuji persembahan ditampilkan sebagai sesuatu yang segar dan menarik.

“Terima kasih kepada yang mengharapkan kemenangan kami. Tapi saya memang tidak ada mende­ngar maklum balas seperti itu. Malah tidak terfikir langsung untuk menang.

“Pada malam itu, apa yang kami berdua fikirkan untuk memberi persembahan terbaik dan mahu orang ingat persembahan kami.

“Alhamdulillah jika penonton suka, selagi itu juga kami akan bergabung dan menghasilkan lebih banyak karya bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 5:10 AM