AHMAD Shabery menunjukkan ikan yang ditangkap nelayan ketika lawatan di Pelabuhan Perikanan LKIM, Tok Bali. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Kerjasama di antara pihak kerajaan dengan pengusaha bot nelayan mampu menjadikan Pelabuhan Tok Bali muncul sebagai hab perikanan laut dalam yang utama di Asia Tenggara menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan akan memberi bantuan kepada pengusaha atau nelayan.

Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang diberi tanggungjawab untuk menjaga pelabuhan dan nelayan perlu meningkatkan tahap keupayaan serta kapasiti pengeluaran termasuk menjaga kebersihan untuk mencapai piawaian itu.

"Kita mungkin akan meletakkan pejabat Kesatuan Eropah (EU) di lokasi ini pada masa akan datang.

"Pada masa ini, pendaratan ikan di Kelantan meningkat lebih tiga kali ganda dalam masa tiga tahun iaitu daripada 62,238 tan metrik pada 2014 kepada 218,800 tan metrik tahun lalu dan 90 peratus daripadanya di Pelabuhan Tok Bali," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Sukarelawan Nelayan di sini, hari ini.

Ketika ditanya bekalan ikan di pasaran mencukupi atau tidak, beliau memberi jaminan ia mencukupi dan harganya akan stabil sehingga Ramadan ini serta mampu dibeli semua rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 12:52 PM