Penerbangan MH132 dari Auckland dibenar berlepas 12 tengah malam ini dan dijangka tiba di Kuala Lumpur kira-kira 5.50 pagi esok. - Foto Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Malaysia Airlines Bhd (MAB) memaklumkan penerbangan MH132 dari Auckland, New Zealand ke Kuala Lumpur yang tertunda berikutan masalah teknikal pesawat, awal pagi semalam, dijadualkan semula tengah malam ini.

MAB dalam kenyataan hari ini berkata, pesawat MH132 sepatutnya berlepas kira-kira 12.55 tengah malam Sabtu dan tiba Kuala Lumpur pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, penerbangan pesawat itu dijadualkan semula dan dibenarkan berlepas 12 tengah malam ini dan dijangka tiba di Kuala Lumpur kira-kira 5.50 pagi esok.

"Kami memohon maaf di atas kelewatan jadual penerbangan itu. Keselamatan penumpang adalah penting bagi kami.

"Kami terpaksa menggantikan bahagian pesawat yang rosak namun, ia (bahagian) tiada di New Zealand dan Australia sehingga terpaksa melewatkan jadual penerbangan," katanya.

Katanya, pihaknya tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan penumpang.

Menurutnya, penumpang yang terkandas sudah diberikan baucar makanan namun, pihaknya kesal kerana gagal menyediakan bilik penginapan untuk penumpang kerana ketiadaan bilik yang mencukupi.

"Kami akan menggunakan semua kaedah bagi memudahkan penumpang berkenaan dan akan memberikan pampasan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 7:34 PM