HATTAN. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Shah Alam: Penyanyi Datuk Hattan enggan mengulas lanjut dakwaan mengatakan dia menipu suami isteri berjumlah RM1 juta.

Hattan atau nama penuhnya, Mohd Shukri Shahabudin, 53, yang ditemui di sini, malam tadi berkata, dia sudah menyerahkan perkara itu kepada peguam dan menunggu tindakan seterusnya.

"Saya sudah agak soalan ini pasti keluar. Kalau nak tahu saya sudah membuat laporan polis, minggu lalu dan menyerahkan perkara ini kepada peguam.

"Selebihnya saya tak nak komen," katanya ringkas sebelum berlalu pergi.

Pada 9 Mac lalu, wanita dikenali sebagai Noor Maszura Abu Bakar memuat naik video di laman Facebook miliknya mengenai kisah muflis yang ditanggung bersama suami gara-gara penyanyi itu sehingga terpaksa menanggung hutang hampir RM1 juta.

Video berdurasi 20 minit 30 saat yang mendedahkan dakwaan penipuan penyanyi itu mulai tular dan mendapat simpati pengguna laman sosial.

Video yang dikongsi menerusi akaun Zura Abu Bakar itu ditonton lebih 25 ribu pengguna dan mendapat perkongsian hampir 380 pelayar.

Tidak terhenti setakat itu, wanita terbabit mendedahkan pula dokumen syarikat yang masih disimpan sebagai bahan bukti yang mengaitkan penyanyi itu.

Daripada satu dokumen itu tertera nama sebenar dan tanda tangan penyanyi itu.

Difahamkan masalah itu berlarutan sejak 15 tahun lalu.

Berita berkaitan:

'Kami dibelenggu muflis' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 11:12 AM