Keadaan Perodua Kancil yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Paya Rumput, Melaka. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Tiga remaja terselamat walaupun bumbung kereta Perodua Kancil dinaiki hampir ranap selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Paya Rumput Bestari, kira-kira 12.15 tengah hari, hari ini.

Difahamkan, Perodua Kancil itu dipandu Nurhazirah Hazni, 19, bersama penumpang Mohamad Shafiq Asriq Kamaruddin, 18, dan Norizwani Saberi, 19, dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Bandar Raya Melaka.

Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku apabila lori sampah dari arah sama yang berada di lorong kanan, memperlahankan perjalanannya ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat.

Perodua Kancil itu yang berada di lorong kiri tiba-tiba masuk ke lorong kanan iaitu laluan lori sampah menyebabkan pemandu lori berkenaan yang berusia 54 tahun, mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan terbabit.

Perodua Kancil itu melanggar belakang satu lori pasir yang berhenti menyebabkan kereta dinaiki tiga remaja itu tersepit antara dua lori.

Ketiga-tiga remaja itu dilaporkan hanya cedera ringan tanpa luka serius.

Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Penguasa Bomba Hashim Kasering dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.25 tengah hari.

"Sebaik pasukan tiba di lokasi pada 12.32 tengah hari, mereka dapati tiga mangsa tersepit dalam kereta Perodua Kancil dan kerja mengeluar serta menyelamat mangsa dilakukan segera. Mereka berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 5:41 PM