KAKITANGAN MPB dan Coca-Cola bersama selebriti yang terbabit.

Tiada siapa mampu menandingi kehebatan air tangan ibu. Setiap hidangan disediakan dengan penuh kasih sayang terhadap suami dan anak.

Bagi menzahirkan penghargaan kepada ibu, Media Prima Berhad (MPB) bersama-sama air minuman popular Coca Cola memperkenalkan program Dapur Bonda yang dikendalikan Cef Fikree bersama artis jemputan.

Menariknya, program itu tidak sekadar bersiaran di kaca televisyen bahkan boleh didengar di stesen radio Kool FM.

Rancangan ini bakal ditayangkan selama lima episod menerusi Nona pada setiap Ahad bermula 23 April ini manakala di Kool FM akan berkumandang stiap Isnin jam 3 petang bermula 17 April.

Lebih mengujakan, setiap episod menampilkan artis popular terdiri daripada Aiman Hakim Ridza, Aiman Tino, Syafiq Kyle, Amar Baharin dan Hafidz Roshdi.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemasaran Bersepadu Coca-Cola Singapura-Malaysia Lim Kean Yew, semua selebriti yang terbabit akan menyediakan juadah istimewa buat ibu tercinta sebagai tanda penghargaan sambil dibantu Cef Fikree.

“Sajian yang dimasak di rumah sering membawa kenangan masa kecil terutama apabila dinikmati bersama keluarga dan kenalan tersayang.

“Menerusi Dapur Bonda, kami ingin menghargai pengorbanan ibu yang selama ini menjadi nadi dan tukang masak terbaik buat keluarga selain menjadikan masakan sebagai pengikat kasih sayang,” katanya.

Diberi kepercayaan mengendalikan program masakan itu menerusi platform radio, Liza Khairudin berkata, selain bersiaran secara audio, pendengar juga berpeluang berkongsi tip masakan dengannya menerusi segmen Petang Di Kool.

Sementara itu, pelantun popular lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino mengakui tidak sabar menyediakan hidangan dan menguji kemampuannya beraksi di dapur.

“Saya tidaklah hebat di dapur tetapi biasa melihat ibu dan ayah memasak kerana kami ada restoran di Dataran Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 3:41 AM