REAL Spin tidak hadir dengan tangan kosong.
Ramlah Zainal


Mengusung Rindu dan Memori Berkasih (duet dengan Siti Nordiana) antara lagu popular yang menaikkan nama kumpulan Spin pada zaman kegemilangan mereka dahulu.

Oleh itu, bagi mengubat kerinduan peminat Spin, dua anggota asal kumpulan ini iaitu Norazren Kamil atau Azren (pemain bass) dan Aidelah Ahmad atau Aidel (gitaris) menubuhkan kumpulan Real Spin tahun lalu.

Real Spin tidak hadir dengan tangan kosong sebaliknya muncul dengan bingkisan single baru sebagai tanda kemunculan semula dalam gelanggang seni tanah air.

Lebih bermakna, Real Spin turut memperkenalkan dua anggota baru iaitu Muhammad Khalis Md Shari atau Khalis dan Aiman Haqim Mohamad Ramli atau Aiman (drum).

Selaku vokalis, Khalis, 29 yang juga adik Allahyarham Achik Spin berkata, dia terus bersetuju apabila ditawarkan menggantikan tempat arwah abangnya dalam kumpulan Real Spin.

“Selepas pemergian Achik, saya ditawarkan untuk menyertai Real Spin kerana Azren mahukan adik-beradik arwah meneruskan perjuangan Spin.

“Kumpulan ini ditubuhkan apabila ramai peminat meminta kami meneruskan perjuangan Spin selepas pemergian Achik,” katanya.

Khalis berkata, buat permulaan, Real Spin mempertaruhkan single pertama iaitu Halusinasi Diri ciptaaan komposer Cuna Alfian dan lirik oleh Atan Alfian mendapat sambutan hangat peminat.

“Single kedua, Semakin Rindu juga ciptaan Cuna manakala lirik Azren sudah siapkan. Lagu ini dijangka dilancarkan pada Jun nanti.

“Selain dua single, kami juga sudah ada beberapa lagu yang akan dimuatkan dalam album mini Real Spin nanti,” katanya.

Mengulas mengenai komposer pula, kata Khalis, mereka selesa bekerjasama dengan Cuna Alfian dan membuka peluang kepada Azren untuk mengembangkan bakat sebagai penulis lirik.

“Selain bermain bass, Azren juga boleh menulis lirik dan apa salahnya kami tonjolkan bakat yang ada pada anggota kumpulan ini.

“Saya percaya, rata-rata peminat setia kumpulan Spin berusia di atara 30 hingga 40-an. Pada masa sama kami berharap single Real Spin dapat menarik peminat baru,” katanya. Walaupun menyertai Real Spin, Khalis tidak ada masalah untuk memenuhi undangan persembahan secara solo.

“Saya tetap bawa nama Real Spin ketika menjayakan persembahan solo. Jadi tak timbul masalah di situ, lagipun anggota lain pun sudah bersetuju,” katanya.

Tunaikan impian arwah Achik

Selain single baru, Real Spin yang memiliki syarikat sendiri juga turut memperkenalkan produk herba sejak setahun lalu.

Menurut Khalis, isteri arwah Achik dilantik selaku jurucakap produk berkenaan.

“Sebenarnya, kami menunaikan impian arwah Achik yang mahu ada produk sendiri.

“Ketika hayatnya dulu, arwah Achik pernah menyatakan hasrat itu dalam satu program televisyen. Baru sekarang impiannya dapat direalisasikan,” katanya.

Khalis berkata, setakat ini produk yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Produk herba ini membabitkan sabun belalai gajah, losen yang baik untuk kulit terutama masalah ekzema, selulit dan sebagainya.

“Selain dijual secara ‘online’, pihak kami turut mempromosikan produk ini ketika memenuhi undangan persembahan di serata tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 3:48 AM