PROSES permanian beradas dijalankan.
ROSLAN melihat lembu yang akan menjalani proses permanian beradas.
Ahmad Rabiul Zulkifli
rencana@hmetro.com.my

Jika 20 tahun lalu, perkhidmatan permanian beradas dipandang sepi dan kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Tidak kurang juga yang memandang jijik terhadap perkhidmatan itu kerana prosesnya yang unik dan memerlukan seseorang memasukkan tangan ke dalam bahagian peranakan haiwan ternakan.

Namun zaman kian berubah, aktiviti yang berisiko dan boleh mengundang padah kepada individu itu kian mendapat sambutan kerana penternak kini membela dan menternak lembu baka elit termasuk Charolais, Blonde, Limousin, Blue Mega dan Sado.

Roslan Atan, 43, dari Kampung Pak Pa antara tiga individu yang kini aktif menjalankan perkhidmatan itu sejak 1995.

Menurutnya, permintaan terhadap perkhidmatan itu sangat luar biasa dan meningkat sehingga empat kali ganda berbanding pada zaman dia mula menceburi bidang itu.

“Perkhidmatan itu semakin mendapat permintaan daripada penternak selepas lembu baka pelbagai jenis yang mencecah harga puluhan ribu ringgit semakin diminati.

“Secara purata, saya mampu memperoleh RM400 hingga RM640 sehari hasil menawarkan perkhidmatan permanian beradas untuk pelbagai jenis lembu di negeri ini,” katanya.

Katanya, dia menawarkan perkhidmatan permanian beradas untuk ternakan sejak 1995 selepas menyertai kursus yang dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Kluang, Johor selama sebulan.

“Saya mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam perkhidmatan itu selepas menyedari perkhidmatan itu kurang ditawarkan dan penternak hanya mengharapkan perkhidmatan yang disediakan JPV di daerah masing-masing.

“Pada peringkat permulaan, tiada siapa yang menyedari potensi perkhidmatan itu malah tidak kurang yang mencemuh kerana saya menjalankan perkhidmatan yang disifatkan sebagai menjijikkan,” katanya.

Roslan berkata, kesungguhannya dan minat yang mendalam membuatkan dia dipilih JPV untuk dihantar ke Palembang, Indonesia pada 2014 selama tiga minggu untuk mengikuti kursus lanjutan.

“Di samping itu, saya membantu penternak di sana menjalankan kerja permanian beradas untuk lembu susu,” katanya selepas menjalankan aktiviti itu di Kampung Lingai, Batu Rakit, Terengganu.

Menurutnya, banyak pengalaman yang dilalui sepanjang menjalankan perkhidmatan itu termasuk terkehel tangan dan tulang lutut akibat ditendang lembu ketika menjalankan perkhidmatan itu.

“Berikutan kejadian itu, saya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri supaya kejadian sama tidak berulang.

“Lazimnya lembu kampung yang sukar untuk menjalani proses permanian beradas itu kerana agresif dan sukar dikawal,” katanya.

Roslan berkata, rata-rata penternak mempunyai lembu baka betina akan menggunakan perkhidmatan untuk memasukkan benih pelbagai jenis baka ke dalam induk dan biasanya baka Charolais Demak dan Belgium Blue yang paling mendapat sambutan.

“Terbaru benih lembu baka sado yang menjadi kegilaan penternak dan setiap perkhidmatan dikenakan bayaran sebanyak RM80 termasuk kos pelbagai jenis benih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:44 AM