MOHAMMAD Ikram menunjukkan pokok cili api segar.
MOHAMMAD Ikram menunjukkan pokok cili api segar.

Semangat dan keinginan untuk berubah mendorong usahawan muda, Mohammad Ikram Ramli, 26, mengusahakan tanaman cili api atau nama saintifiknya, capsicum frutescens linn, di Kampung Tidak banyak musuh tanaman Masjid Solok Rantau, Negeri Sembilan.

Selepas melakukan pelbagai pekerjaan sebaik menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bekerja sebagai pembantu kedai runcit, Mohammad Ikram membuat keputusan membabitkan diri dalam bidang pertanian.

Melalui perkongsian ilmu dengan pengusaha lain, dia memulakan projek menanam cili api itu menggunakan beg semaian pada September tahun lalu di kawasan seluas 0.5 hektar yang disewa secara tahunan daripada penduduk kampung terbabit.

“Saya memulakan projek ini dengan bermodalkan RM1,500 yang digunakan untuk membersihkan kawasan, mendapatkan anak benih, prasarana sistem semburan air dan tanah bakar.

“Pada peringkat awal hanya 80 pokok cili ditanam dan kemudian ditambah kepada 500 pokok. Selepas lebih empat bulan mengusahakannya, saya tidak menyangka pulangannya begitu memberangsangkan dan mampu memperoleh pendapatan lebih RM1,500 sebulan,” katanya.

Menurut Mohammad Ikram, cili api itu dijual kepada peruncit dan peniaga sekitar Rantau dan Seremban dengan harga RM15 sekilogram dan projek yang dilaksanakan itu mampu mengeluarkan antara 90 hingga 100 kilogram (kg) cili sebulan.

Anak sulung daripada dua beradik itu turut mengusahakan bengkel membuat besi berkata, setakat ini projek tanaman cili api itu dijadikan sebagai aktiviti sampingan.

Katanya, walaupun pada peringkat awal terbit rasa ragu kerana bimbang projek berkenaan tidak berhasil tetapi akhirnya dia lega apabila hasil tanaman berkenaan begitu menjadi dan menguntungkan.

“Tambahan pula, tanaman dan penjagaan cili api ini mudah dan tidak banyak musuh tanaman yang akan menjejaskan atau merosakkan tanaman,” katanya.

Menurutnya, permintaan cili api daripada kalangan peniaga dan peruncit sangat tinggi dan tidak mencukupi selain harganya yang begitu memberangsangkan.

“Permintaan tinggi dan nilai pasaran yang semakin meningkat itu membangkitkan semangat saya untuk membesarkan projek ini pada masa depan.

“Saya bercadang mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS),” katanya.

Mohammad Ikram berkata, dia turut membuat baja sendiri menggunakan beberapa bahan organik termasuk sisa tumbuhan.

“Dengan mengeluarkan baja sendiri, saya dapat menjimatkan sedikit kos, bagaimanapun baja yang dijual di pasaran tetap digunakan,” katanya. -Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:47 AM