Aziman Rosdi


Sepang: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengambil langkah serius dalam membendung masalah rasuah apabila melantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki untuk mengetuai Jawatankuasa Integriti FAS.

Menurut Presiden FAS Datuk Seri Subahan Kamal, kerjasama dengan SPRM ini bukan saja untuk memberi nasihat malah memantau pergerakan pemain dan pegawai agar tidak dipengaruhi dengan sebarang gejala mengatur perlawanan.

"Kerjasama antara SPRM dan FAS ini adalah yang pertama di Malaysia di mana kita mahu menerapkan nilai-nilai murni antara pemain dan pegawai.

"Presiden baru FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan antara perkara utama yang ingin beliau mahu lihat adalah FAM berada di tahap intergriti tinggi dan baik.

"Jadi kami sebagai persatuan negeri juga mahu menyahut cabaran itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Lafaz Ikrar Exco dan Pemain Selangor, hari ini.

Azam yang turut hadir pada majlis itu menyatakan bahawa pihak SPRM sentiasa terbuka untuk memberi bantuan kepada mana-mana persatuan bola sepak negeri dan kelab dari segi khidmat nasihat dan pemantauan.

"Ini bukan kali pertama saya bersama dengan persatuan sukan kerana sebelum ini saya juga adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Integriti FAM, jadi saya dan pihak SPRM memang sentiasa bersedia untuk bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:49 PM