Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Usianya baru lima tahun, tetapi keupayaannya mengagumkan.

Betapa tidak, pada usia itu Ahmad Azfar Azraie mampu mengaji secara bertarannum sehingga ramai yang terpegun ketika menonton videonya mengaji Surah al-Isra' ayat 28 hingga 30 di hadapan datuknya.

Video itu dimuat naik bapanya, Azraie Abdul [email protected] Ghani, 37, di Facebook (FB) pada 21 Mac lalu sehingga tular apabila dikongsi lebih 41,000 kali.

Azraie ketika dihubungi Harian Metro hari ini berkata, Ahmad Azfar, anak kelima daripada enam beradik menghafal ayat suci al-Quran dengan bantuan abang dan kakaknya sejak usianya tiga tahun.

"Dia juga ikut mengaji kerana memang rutin keluarga selepas solat Maghrib, kami mengaji.

“Ketika duduk saja-saja dia membaca ayat suci al-Quran. Dah macam dia punya zikir,” kata

"Saya dan keluarga pun kalau dalam kereta akan bersama-sama mengaji dan menegur jika ada kesalahan," katanya yang bertugas sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka.

Keluarga Azraie cukup dikenali sebagai keluarga qari dan qariah apabila dia dan isteri, Sarrul Munirah Haris, 34, pernah sama-sama mewakili Melaka dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan sebanyak empat kali.

Ayahnya, Datuk Abdul [email protected] Ghani Abdullah, 75, juga pernah empat kali menjadi johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Menurut Azraie, jika pulang ke kampung di Kampung Batu Hampar Pendang, Kedah, ayahnya suka mendengar alunan ayat suci al-Quran.

“Ayah akan minta kami buat bulatan dan anak saya bergilir-gilir baca (al-Quran) diikuti yang dewasa termasuk saya.

“Itu memang ayah saya punya hiburan. Balik kampung hari itu saya minta ayah baca juga dan saya sebarkan video bacaan itu supaya dapat jadi amal kebajikan untuk dia.

"Orang akan tengok dan doakan ayah, secara tidak langsung orang muda akan lebih bersemangat untuk baca al-Quran," katanya yang tinggal di Taman Muzaffar Syah, Ayer Keroh, Melaka.

Selain itu, tiga anaknya turut mengikut jejak dia dan isteri apabila memenangi pertandingan tilawah al-Quran iaitu anak pertama, Athirah, 13, anak kedua Ahmad Asyraf, 12, dan anak ketiga, Ahmad Abrar, 10.

"Seperti Ahmad Azfar, anak yang lain juga saya ajar mereka membaca al-Quran sebaik mula pandai bercakap, tetapi secara tidak formal.

"Seperti anak pertama, Athirah yang sudah khatam al-Quran pada usia enam tahun, saya ajar dia tarannum secara formal pada usia tujuh tahun," katanya.

Azraie turut berharap video yang dikongsinya itu dapat memberi semangat kepada kanak-kanak lain selain ibu bapa supaya mementingkan al-Quran dalam kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:19 PM
Petikan video Ahmad Azfar mengaji secara bertarannum di depan datuknya yang tular sejak di muat naik di FB 21 Mac lalu.