Anggota bomba memindahkan penduduk kampung selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir di Taboh Naning, Alor Gajah. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Hasbullah Azhar


Alor Gajah: Lebih 100 penduduk dari Kampung Taboh Naning, Cherana Putih dan Jalan Minhat terjejas banjir akibat hujan berterusan sejak 5.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dari jumlah itu 30 mangsa dari lapan keluarga terjejas teruk.

"Mangsa terjejas teruk dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Balai Raya Kampung Taboh Naning yang dibuka sejak 9 malam tadi.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah salurkan bantuan awal kepada semua mangsa terjejas," katanya.

Beliau berkata, operasi memindahkan dan membantu mangsa banjir membabitkan 50 anggota pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 12:08 AM