Paip air milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pekan Kulim pecah awal pagi tadi.
Azahar Hashim

Kulim: Paip air milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pekan Kulim pecah awal pagi tadi menyebabkan 42 tempat dan taman perumahan di sekitarnya terputus bekalan air bersih.

Kejadian berpunca daripada tindakan kontraktor mengorek tanah di kawasan itu bagi pemasangan papan tanda dan terkena paip air tekanan tinggi bersaiz 700 milimeter diameter.

Paip itu pecah lalu mengeluarkan pancutan air setinggi lebih 10 meter dan membasahi beberapa rumah kedai berhampiran.

Laluan di persimpangan Jalan Tunku Assad menghala ke Kelang Lama, dekat sini, juga terpaksa ditutup sementara untuk kerja pembaikan paip.

Pegawai Perhubungan Awam SADA Rofedi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kontraktor terbabit jam 2.45 pagi tadi terbabit memaklumkan kejadian. Katanya, pihaknya terpaksa menutup beberapa injap untuk kerja baik pulih dan menyebabkan bekalan air terganggu di beberapa kawasan iaitu di Pekan Kulim, Kilang Lama, Taman Kenari, Taman Selasih, Taman Cendana, Taman Manggis, Taman Pegaga, Taman Tunku Putra, Taman Keladi, Kulim Avenue dan Perniagaan Putra.

"Selain itu, Politeknik, UniKL, Kampung Padang Kulim, Taman Kota Kenari, Taman Tiong, Taman Helang, Taman Camar,Taman Bersatu, Taman Jelutong, Taman Jati, Junjong, PGA, Taman Sri Manjung, Taman Orkid, Taman Tanjung Indah.

"Taman Anggerik, Taman Kekwa, Taman Melor, Jalan Junjong, Taman Semarak, Taman Angsana, Taman Rhu, Taman Kemuning, Taman Bukit Kulim dan Taman Keranji.

"Taman Meranti, Kampung Padang Buloh, Kampung Padang Tembak, Kilang Sago,Taman Sulaiman dan Kampung Sungai Ular," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, kerja pembaikan paip itu siap pada 4.30 petang tadi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya bermula jam 10 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 10:08 PM