Najib mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, malam tadi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selaras dengan amalan dan dasar Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia bermakna cadangan pindaan RUU 355 itu akan menjadi usul persendirian.

"Terserah kepada Speaker (Yang di-Pertua Dewan Rakyat) untuk menentukannya mengikut Aturan Urusan Mesyuarat.

"Kalau Speaker suruh bentangkan, maka ia akan dibentangkan. Kita tidak akan bentangkannya dan sudah menentukan dasar sebab ia jadi usul persendirian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi BN enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen BN akan mengundi atau tidak sekiranya usul persendirian itu berjaya dibentangkan di Parlimen.

Usul pindaan RUU 355 itu dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dalam beberapa persidangan Dewan Rakyat sebelum ini, namun ia tidak berjaya dibentangkan.

Mengikut peraturan, usul persendirian hanya boleh dikemukakan selepas semua urusan kerajaan selesai.

Usul pindaan akta yang mengawal Bidang Kuasa Mahkamah Syariah di negeri itu bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu sepertimana yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak selama ini.

Pindaan itu berkaitan had jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan di Mahkamah Syariah Negeri yang begitu lama tidak dipertingkatkan (iaitu hukuman rotan terhad kepada maksimum enam kali sebatan, denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara maksimum tiga tahun).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 11:11 PM