Nur Syazwana Mansor


Alor Setar: Kedai perkakasan di Jalan Besar, Kota Sarang Semut, dekat sini, musnah dalam kebakaran 8.15 malam tadi.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan utama Alor Setar menghala ke Sungai Petani apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat kebakaran.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Nazeri Kasa ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam dan seorang pegawai bersama lima anggota dari BBP Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian untuk bantuan memadam kebakaran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati api marak membabitkan sebuah kedai perkakasan kelas B dua tingkat.

Katanya, pihaknya juga turut mendapat bantuan dari BBP Yan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Sarang Semut, PBS Seberang Nyonya, PBS Taman Mutiara, PBS Simpang Empat Alor Setar, PBS Tanah Merah, PBS Sungai Limau Dalam, dan PBS Bukit Pinang untuk mengawal kebakaran.

"Sebaik tiba didapati api begitu marak namun, dapat dikawal pada 8.58 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 11:57 PM
Kedai perkakasan di Jalan Besar, Kota Sarang Semut, musnah dalam kebakaran 8.15 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Kedai perkakasan di Jalan Besar, Kota Sarang Semut, musnah dalam kebakaran 8.15 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Digital NSTP Subscribe