MANGSA culik Abu Sayyaf, Mohammad Jumadil Rahim, 23; Fandi Bakran, 26; dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, bersama Najib di kediamannya. FOTO Sairien Nafis
MANGSA culik Abu Sayyaf, Mohammad Jumadil Rahim, 23; Fandi Bakran, 26; dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, bersama Najib di kediamannya. FOTO Sairien Nafis
Nurul Huda Kosnon dan Mohd Hanafis Haris.

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, kesemua lima orang (tebusan) diselamatkan dan sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam misi untuk melepaskan mereka.”

Itu kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ketika menyerahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina, iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, di kediamannya di Jalan Taman Duta, pagi ini.

Najib berkata, pelepasan berkenaan dibuat sempena hari jadi Duterte yang ke-72 sebagai tanda keakraban antara republik itu dan Malaysia.

"Saya juga berterima kasih atas usaha dan kejayaan tentera Filipina, Polis Diraja Malaysia dan Kelab Putera 1Malaysia dalam usaha membawa balik dan bantu bawa mereka.

"Mereka akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia yang menjadi tebusan terakhir ini akan ditempatkan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejurus menjalani latihan.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan urusan itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 10:10 AM