LILIN berwarna hijau dan biru yang disusun berbentuk bumi di Brandenburg Gate, Berlin.
EIFFEL TOWER bergelap sebagai sokongan Earth Hour 2017.
SUASANA kota Hong Kong ketika Earth Hour 2017.
SI kecil gembira bermain lilin sempena sambutan Earth Hour 2017 di Yangon, Myanmar.
SUASANA makan malam berbeku di Sunway Lagoon tepat 8.30 malam.
KANAK-kanak meletakkan lampu di sempena Earth Hour 2017 di Sunway Lagoon.
MENARA Berkembar Petronas sebelum (kiri) dan ketika Earth Hour 2017.
Suliati Asri


Tepat jam 8.30 malam waktu tempatan Sabtu lalu, 187 negara dan wilayah bergelap selama sejam. Lampu di lebih 3,100 mercu tanda yang menjadi tumpuan pelancong juga dipadamkan.

Sejurus lampu dipadam, ribuan warga kota dan pelancong yang berada di merata lokasi bersorak sebagai tanda sokongan.

Jutaan individu, peniaga dan organisasi juga mengambil bahagian dengan bergelap selama sejam di rumah, pejabat selain menutup peralatan elektrik yang tidak digunakan.

Walau di mana mereka berada. Tanpa mengenal sama lain, seluruh dunia bersatu dalam meraikan Earth Hour.

Itulah keunikan sambutan Earth Hour, acara tahunan bersifat global terhadap pemuliharaan alam sekitar anjuran Tabung Alam Sedunia (WWF) yang disambut pada setiap hari Sabtu terakhir bulan Mac.

Kempen yang pertama kalinya dilaksanakan di Sydney, Australia pada 2007 itu berkisar kepada rasa tanggungjawab manusia terhadap bumi dengan cara memadamkan semua lampu selama sejam bermula jam 8.30 malam.

Genap 10 tahun penganjurannya, kempen ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai negara merentas benua.

Mengetengahkan tema ‘Shine a light at Climate Action’, Earth Hour 2017 bukan saja memberikan kesedaran tetapi menjadi satu malam yang penuh dengan pelbagai acara menarik yang ditawarkan di seluruh dunia.

Destinasi dan mercu tanda tumpuan dunia juga tidak ketinggalan melaksanakan pelbagai acara keraian bagi menarik perhatian pelancong yang inginkan bercuti sekali gus meraikan acara ini.

Dari Myanmar yang kali pertama meraikan Earth Hour, Hong Kong, Malaysia, India sehingga bandar raya Sydney keadaannya bergelap seketika.

Itu belum lagi di Eiffel Tower, Paris, destinasi percutian popular dunia yang turut bergelap dan penduduk juga mengambil kesempatan untuk bersantai dan menyaksikan acara bergelap itu.

Lampu dimatikan di London’s Tower Bridge, diikuti dengan Kremlin di Moscow dan Chhatrapati Shivaji Terminus yang dulunya dikenali sebagai Victoria Terminus di Mumbai, India.

Namun, sepanjang sejam tempoh bergelap itu, terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan antaranya menyalakan lilin lokasi terpilih, larian malam, berbasikal, makan malam berbeku dan banyak lagi.

Malaysia juga tidak ketinggalan turut sama meraikannya dengan pelbagai kempen serta aktiviti menarik.

Mercu tanda negara Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan bangunan-bangunan sekitarnya juga memadamkan lampu sebagai tanda sokongan.

Penganjuran pelbagai acara sepanjang sejam bergelap sempena Earth Hour ini nyata menarik minat ramai pelancong untuk meneroka ke seluruh dunia demi merasai sendiri pengalaman berbeza.

Penolong Pengurus di firma guaman, Mohd Faiz Ibrahim, 28, berkata, bercuti sempena Earth Hour di luar negara sememangnya cukup mengujakan dan satu peluang yang tidak seharusnya disia-siakan.

“Negara Eropah misalnya, mereka sering mengadakan acara yang unik dan di luar jangkaan.

“Jadi, melihatnya sendiri dan merakamkan gambar menerusi aktiviti yang anjurkan memberikan kepuasan tersendiri,” katanya.

Melancong untuk acara seumpama ini juga memberikan banyak pengalaman bermakna kerana setiap lokasi menjadi tumpuan ramai yang datang dari pelbagai latar belakang.

Oleh itu, secara tidak langsung, ia boleh memberikan inspirasi dan pengalaman baru yang boleh dikongsikan kepada rakan dan rakyat Malaysia.

Mengulas kepada kesedaran kempen ini di kalangan rakyat Malaysia, katanya, dia cukup kagum pembabitan negara terhadap Earth Hour 2017.

Namun, dari segi kesedaran secara individu, ia mungkin perlu dipupuk dan pendedahan terhadap pentingnya kempen ini perlu diperluas lagi.

“Pada pendapat saya, rakyat Malaysia masih memerlukan pendedahan lebih dalam acara seumpama ini.

“Kesedaran sudah mula ada tetapi ia perlu dipupuk. Oleh itu, melancong ke negara luar untuk melihat sendiri hebatnya sokongan dan kesedaran masyarakat dunia lainnya menyambut Earth Hour adalah sangat berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Noor Aslinawati Ramli, 37, berkata melancong untuk melihat sendiri sambutan Earth Hour di luar negara adalah hasratnya satu hari nanti.

Katanya, sambutan di seluruh dunia adalah berbeza dan melihat sendiri kelainan Earth Hour di negara lain pasti mengujakan.

“Seluruh dunia meraikan Earth Hour dengan pelbagai aktiviti yang berlainan tetapi menerapkan tujuan yang sama.

“Jadi, berada di luar negara ketika Earth Hour terutama di United Kingdom, negara yang sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong dan mudah untuk bercuti di sana berada di dalam senarai destinasi yang akan dituju,” katanya.

Beliau berkata, rancangannya untuk menghadiri acara ini tidak diketahui suami dan anak-anaknya.

“Mulanya, saya punya lokasi tersendiri untuk menyambut Earth Hour tetapi tidak membabitkan anak.

“Tetapi bagi memberikan kesedaran kepada anak khusus dalam menyayangi alam sekitar dan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, saya menukar rancangan.

“Alhamdulillah, mereka sangat teruja dan nampak mereka juga sudah ada kesedaran terhadap objektif penganjuran Earth Hour yang disambut di seluruh dunia ini,” katanya yang ditemui di acara Makan Malam Berbeku sempena Earth Hour di Sunway Lagoon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 12:24 PM