Van jenis Toyota Hiace yang dipercayai membawa mayat Jong-nam dilihat memasuki Kompleks Kargo KLIA jam 2.47 petang tadi untuk proses dihantar pulang. (Gambar kecil) Van yang sama meninggalkan Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur sebelum itu. FOTO Aisyah Sukaimi dan Supian Ahmad

Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Van jenis Toyota Hiace yang membawa mayat abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dilihat memasuki perkarangan Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2.47 petang.

Sejurus tiba, kenderaan itu terus melalui pagar halangan automatik untuk pemeriksaan terlebih dahulu dan seterusnya menuju ke bahagian kargo.

Difahamkan, mayat Jong-nam akan dibawa ke Beijing, China dengan pesawat Malaysia Airlines MH360 yang dijangka berlepas jam 6 petang ini.

Terdahulu, van berkenaan meninggalkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 1.40 tengah hari, hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing ketika dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa membunuh Jong-nam di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 3:37 PM