Mayat yang ditemui terapung di Sungai Tabo.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di Sungai Tabo berhampiran Terminal Bako di Kampung Bako, di sini, pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui orang awam jam 9 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber berkata, ketika ditemui, mayat terbabit berpakaian baju hitam dan berseluar pendek manakala kulit badannya sudah mula menggelupas.

Menurut sumber, mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan penemuan itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 4:16 PM