Anggota polis mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah lori. FOTO Hasbullah Azhar
Hasbullah Azhar


Alor Gajah: Seorang lelaki maut selepas Yamaha 135LC ditunggang melanggar belakang sebuah lori kontena yang diparkir di lorong kecemasan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Rembia Perkasa, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, Soo Yong Sen, 23, terperosok di bawah kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang tidak memasang lampu kecemasan atau papan tanda amaran lain ketika berhenti.

“Lori membawa muatan barangan makanan itu diparkir di lorong kecemasan di kawasan agak gelap akibat kehabisan minyak.

"Mangsa datang dari Alor Gajah dipercayai tidak sedar kehadiran lori berkenaan dan melanggar belakang kenderaan itu serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 5:26 PM