SEORANG peniaga sirih menyuapkan pelanggannya dengan sirih yang masih terbakar. - Agensi
SEORANG peniaga sirih menyuapkan pelanggannya dengan sirih yang masih terbakar. - Agensi
Agensi

New Delhi: Amalan memakan sirih sudah sekian lama diamalkan masyarakat di India dan kini pelbagai jenis sirih dijual di gerai di seluruh negara itu.

Kerana persaingan begitu sengit, penjual sering mencari perasa dan cara baru untuk menarik pelanggan dengan yang paling menakjubkan dan terbaru - sirih bakar.

Dengan gerai yang boleh didapati di setiap sudut jalan raya di India, sirih biasanya mengandungi campuran herba, buah kering, kekacang dan manisan yang dibungkus dalam daun sirih.

Menurut pakar perubatan tradisional, memakan sirih boleh mengubati pelbagai penyakit, termasuk batuk, selesema dan pening kepala.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai penyegar pernafasan.

Sirih bakar secara asasnya ialah sirih biasa. Yang membezakannya ialah ia dibakar sebelum dimasukkan ke dalam mulut.

Pradhuman Shukla yang memiliki sebuah gerai sirih di Delhi sejak 20 tahun lalu berkata, dia berjaya meningkatkan perniagaan itu ke tahap baru selepas menjual sirih bakar.

Peniaga berusia 31 tahun itu berkata, ia bermula setahun lalu apabila seorang bekas pekerjanya menimbulkan idea membuat sirih bakar untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Dan sejak itu, ia menjadi popular.

“Kami sedar ia berbahaya tetapi orang ramai sukakannya. Saya bermula dengan menjual satu tetapi kini kami menjual kira-kira 100 sirih bakar sehari.

“Orang berasa takut melihatnya kali pertama. Tetapi selepas mencubanya, mereka akan datang lagi. Ia tidak ada kesan sampingan. Macam sirih biasa sahaja. Ia selamat dan tidak akan menyebabkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 7:33 AM
Digital NSTP Subscribe