Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Chef de Mission (CDM) negara Datuk Marina Chin mengingatkan atlet negara supaya tidak mengambil mudah sebarang pengambilan makanan tambahan walaupun dibekalkan keluarga terdekat.

Jelas beliau, penting untuk mengelakkan sebarang kes penggunaan bahan terlarang menjelang Sukan SEA 2017 yang berlangsung Ogos nanti.

“Saya sentiasa ingatkan pegawai dan terutama atlet agar perkara ini tidak terjadi di Malaysia. Sebarang makanan tambahan sama ada diberikan keluarga, kawan, dari kampung atau sebagainya perlu dirujuk kepada ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia) atau ISN (Institut Sukan Negara).

“Ia perlu dipastikan tidak mengandungi bahan terlarang walaupun boleh membantu meningkat prestasi atau sebagainya. Jadi atlet perlu bawa kepada pihak berwajib terlebih dulu untuk mendapat kepastian,” katanya selepas menghadiri program anti doping yang membabitkan atlet dari tujuh jenis sukan.

Jelasnya, semua pihak harus memainkan peranan agar perkara ini dapat dibendung bagi memastikan Sukan SEA 2017 bersih daripada sebarang kes doping.

Malaysia mahu memastikan temasya berlangsung tanpa sebarang kes membabitkan bahan terlarang terutamanya membabitkan atlet negara.

Tambah Marina, insiden membabitkan atlet negara di Sukan Malaysia, Sukan SEA serta Sukan Asia sehingga menyebabkan pingat ditarik balik perlu dijadikan pengajaran.

“Kita dapati kebanyakan atlet Malaysia bukan sengaja mengambilnya namun kurang pengetahuan mengenainya. Sebab itu kita menjalankan program ini, memberi peluang kepada mereka sendiri bertanyakan soalan apa yang boleh serta sebaliknya,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 8:13 AM