DULU. Pemimpin UMNO dan MAC bergambar selepas menang pilihanraya pada 1955.
DULU. Pemimpin UMNO dan MAC bergambar selepas menang pilihanraya pada 1955.
KINI. Bangunan UMNO dan Arked MARA Gerik terletak di tengah-tengah simpang empat di jalan utama Gerik.
KINI. Bangunan UMNO dan Arked MARA Gerik terletak di tengah-tengah simpang empat di jalan utama Gerik.
DULU.  Replika gajah di Gerik sebelum negara merdeka.
DULU. Replika gajah di Gerik sebelum negara merdeka.
KINI. Replika tanduk rusa di simpang empat jalan utama di Gerik menggantikan replika gajah.
KINI. Replika tanduk rusa di simpang empat jalan utama di Gerik menggantikan replika gajah.
DULU.  Keadaan Balai Polis Gerik pada 1940.
DULU. Keadaan Balai Polis Gerik pada 1940.
KINI.  Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik kini lebih besar bagi mengawal keselamatan awam.
KINI. Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik kini lebih besar bagi mengawal keselamatan awam.
D J Dolasoh

Kezaliman anggota komunis di Gerik, Perak pada era 1940-an sehingga 1980-an diketuai Chin Peng sehingga pernah diisytiharkan sebagai kawasan ‘hitam’ menumpahkan banyak air mata dan darah apabila ramai yang terkorban bukan saja anggota keselamatan tetapi juga orang awam.

Terletak dalam daerah Hulu Perak seluas 6,563 kilometer persegi di utara Perak yang bersempadan dengan Kedah dan Kelantan, Gerik menyimpan sejarah kekejaman komunis hingga memaksa pemerintah membina Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Kelantan.

JRTB sejauh 123 kilometer itu dicetuskan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra bertujuan menjadikan jalan raya itu ‘lebuh raya pertahanan’ sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan komunis.

Dua Kem Pangkalan (Base Camps) diwujudkan iaitu di Gerik dan Jeli yang menempatkan anggota keselamatan bagi membendung keganasan komunis di utara Semenanjung supaya projek pembinaan JRTB bermula 1972 itu berjalan lancar.

Bagaimanapun, JRTB terus mendapat tentangan hebat apabila komunis meletupkan 63 jentera berat yang digunakan untuk membina jalan raya JRTB pada 23 Mei 1974 bermula jam 8 malam sehingga ke Subuh.

Komunis terus mengganas apabila membunuh tiga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang bekerja dalam projek pembinaan JRTB di Batu 11 dalam tragedi serang hendap jam 7 pagi pada 27 Ogos 1974 dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali.

Meskipun jalan raya JRTB dibina dengan kos RM396 juta ini siap dibina pada 1 Julai 1982 dan dibuka kepada orang ramai tetapi menjadi ‘jalan bahaya’ ketika itu menyebabkan ia dibuka dari jam 7 pagi sehingga 6 petang. Sejak pertengahan 1990-an selepas diyakini selamat ia dibuka 24 jam kepada orang ramai.

Sementara itu, asal usul nama Gerik juga istimewa bermula selepas Raja Reman dari Yala, Thailand meluaskan jajahannya ke daerah Hulu Perak pada akhir tahun 1800 yang gemar berburu menggunakan gajahnya.

Ketika tiba di Gerik, Raja Reman yang mempunyai Istana Singgah di Pengkalan Hulu (dulu Kroh) terkesima apabila terdengar bunyi suara ‘grit’ di pangkal perdu buluh semasa berburu di Gunung Tujuh sehingga mengujanya untuk menyiasat.

Bunyi grit itu keluar berikutan puluhan ekor dekan iaitu sejenis haiwan seakan-akan tikus sebesar kucing ‘mengerit’ (menggigit) umbi buluh sehingga mereka menyebut kawasan itu sebagai ‘grit’ yang akhirnya dituturkan menjadi Gerik sehingga sekarang.

Bangun daripada air mata, darah

Bekas Ketua Konstabel Khas (SC) Hulu Perak Abdul Rani Che Lah, 79 bersama kira-kira 3,000 SC di Hulu Perak ketika itu sentiasa berada di pangkalan hadapan yang bertanggungjawab menjaga balai polis dan pos kawalan daripada diserang komunis.

Menurut Abdul Rani, Gerik adalah daerah paling bahaya ketika itu terutama ketuanya, Chin Peng yang sentiasa mengatur strategi untuk membunuh sesiapa saja yang enggan menyertainya membuktikan daerah ini bangun dari air mata dan darah.

“Saya mula menyertai SC pada 1955 bersama rakan yang turut ditugaskan secara bergilir-gilir ke daerah lain.

Kira-kira 10,000 anggota SC di Perak terkorban selain ribuan lagi orang awam dibunuh komunis tanpa rasa bersalah.”

“Sebelum itu penduduk yang mahu mempertahankan Gerik turut menyertai gerila Harimau Malaya atau Force 136 bermula 1942 sehinggalah pasukan itu dibubarkan British pada 4 Disember 1945 iaitu selepas tentera Jepun di Tanah Melayu menyerah kalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 10:40 AM