Yang DiPertua Perkasa Negeri Johor, Ghauth Mohd Yusof (empat dari kanan) diiringi Naib Yang DiPertua Perkasa Negeri Johor, Anizam Wan Hassan (lima dari kanan) mempengerusikan masyuarat Perkasa Parlimen Pulai selepas merasmikan Pejabat Perkasa Parlimen Pulai di Taman Sri Skudai, Johor Bahru. FOTO ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Johor menggesa pihak berkuasa agama menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap peguam dan aktivis Siti Kasim berhubung kenyataan yang didakwa dikeluarkannya sebelum ini kerana disifatkan mengelirukan.

Naib Yang Dipertua 1 PERKASA Negeri Johor merangkap Pengerusi Pribumi PERKASA Parlimen Pulai, Anizam Wan Hassan berkata, kenyataan aktivis itu yang disiarkan beberapa portal dengan tajuk ‘Melalui Getaran, Kita Menghasilkan Tuhan – Siti Kasim’mampu mempengaruhi golongan muda.

"Kami PERKASA Parlimen Pulai Johor menggesa Jabatan Agama Islam menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Siti Kassim berkaitan kenyataan beliau sebelum ini," katanya pada sidang media di Pejabat Perkasa di Jalan Suasa 1, Taman Sri Skudai di sini, sebentar tadi.

Terdahulu Yang Dipertuanya, Ghauth Mohd Yusof merasmikan Pejabat PERKASA Parlimen Pulai sempena Mesyuarat Pertama PERKASA Parlimen Pulai Kali Pertama 2017.

Mengulas lanjut mengenai isu itu katanya, PERKASA selaku badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam berasa terguris dengan kenyataan berkenaan yang dilihat sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Islam.

"Kenyataan itu sepatutnya tidak dikeluarkan oleh seorang yang dilahirkan sebagai seorang Islam, berpendidikan serta pengamal undang-undang.

"Kami PERKASA Parlimen Pulai melihat kenyataan Siti Kasim boleh mengundang kekeliruan dan salah faham terutama terhadap generasi muda Islam dan orang bukan Islam," katanya.

Katanya, kenyataan itu dibimbangi boleh menjadi pertelingkahan antara agama sekiranya tidak diselesaikan sebaiknya.

"PERKASA Parlimen Pulai mengecam keras kenyataan Siti Kasim dan menggesa beliau menarik balik kenyataan dan segera bertaubat," katanya.

Pada masa sama, pihak berwajib serta golongan ulama di negara ini perlu mengambil tindakan segera terhadap beliau demi untuk memelihara kesucian Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sementara itu, menurutnya, PERKASA Negeri Johor akan menganjurkan Kongres Melayu Johor yang akan menghimpunkan semua 11,000 ahli membabitkan 26 Parlimen yang akan dianjurkan di Ayer Hitam pada 15 April ini.

“Antara isu akan dibincangkan membabitkan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) 355, menbantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuh, memperkasakan sekolah agama dan menentang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 11:43 PM