Gambar fail kejadian penumoang terkandas di Stesen LRT Masjid Jamek akibat gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada 7 September tahun lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rapid KL menyediakan bas ulang-alik untuk penumpang Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya yang terkandas di stesen terbabit sejak 8.30 malam tadi.

Menurut laman Twitter Rapid KL, 10 bas disediakan di stesen Masjid Jamek ke Asia Jaya, Gombak ke Masjid Jamek dan Putra Heights ke Asia Jaya bagi membawa penumpang yang terkandas.

Semua pergerakan tren laluan Kelana Jaya dipandu secara manual buat masa ini.

“Kami sedang berusaha membaiki masalah teknikal membabitkan sistem isyarat perkhidmatan tren LRT,” kata kenyataan Rapid KL.

Setakat 11 malam tadi, perkhidmatan itu masih belum pulih.

Gangguan perkhidmatan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna yang meluahkannya di media sosial.

Pengguna akaun Facebook Liezl Lafuente memuat naik dua gambar menunjukkan kesesakan orang ramai yang terkandas di Stesen LRT Dang Wangi kira-kira 9 malam tadi.

“Saya berasa kurang sabar...terkandas di Stesen LRT Dang Wangi kerana masalah teknikal," katanya.

Ina Inova pula memuat naik sebuah video berdurasi 20 saat menunjukkan keadaan di Stesen LRT KLCC pada 10 malam.

Perkhidmatan LRT itu terjejas akibat masalah teknikal melibatkan semua stesen di laluan Kelana Jaya bermula 8.23 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 12:32 AM