SEORANG peniaga daging duduk di kedainya yang kosong selepas kumpulan pelampau Hindu mengancam menyerang pusat penyembelihan dan kedai menjual daging. - AFP
Agensi

New Delhi: Rumah penyembelihan dan peniaga daging di seluruh India semalam mengakhiri mogok empat hari mereka selepas kerajaan negeri Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, memberi jaminan rumah penyembelihan yang dikendalikan Muslim, tidak akan ditutup atau diserang.

Ancaman kumpulan pelampau Hindu di Uttar Pradesh untuk menyerang rumah penyembelihan dan penjual daging selepas kemenangan mereka dalam pilihan di negeri itu baru-baru ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku ketegangan dengan penduduk Islam yang menguasai industri daging dan mewakili 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India.

“Kami mengambil keputusan mengakhiri mogok selepas berunding dengan ketua menteri yang memberi jaminan kerajaannya akan membaharui lesen rumah penyembelihan,” kata Chaudhary Aley Ummar Qureshi, setiausaha agung pertubuhan Islam Jamiatul Queresh.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi jaminan akan melindungi rumah penyembelihan daripada serangan atau tindakan di luar undang-undang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 8:03 AM