KERATAN laporan portal Harian Metro, semalam.


Kuala Berang: Lelaki yang ditemui maut di kaki lima bangunan dekat pusat karaoke di pekan Ajil, di sini, semalam, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman dan kes itu tiada tidak kaitan dengan jenayah.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kita tidak menolak kemungkinan mangsa cuba menyelamatkan diri daripada dikejar anjing.

“Ini berikutan kehadiran beberapa haiwan itu sebelum mangsa melanggar motosikal yang ada di kaki lima.

"Mangsa yang jatuh kemudian dihempap motosikal sama. Hasil bedah siasat mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Adli turut menafikan viral di laman sosial yang mendakwa mangsa mati akibat disamun dan dibunuh penyamun yang melarikan motosikal jenis Yamaha RXZ miliknya.

"Berita itu tidak benar kerana berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, polis mendapati tiada unsur jenayah.

“Semua barangan mangsa termasuk beg dompet, beg galas dan motosikal dinaikinya ada di lokasi berkenaan," katanya.

Allahyarham Mohamad Adhar Abd Aziz, 22, dari Kampung Bukit Acheh, Matang, di sini, ditemui orang awam bawah motosikal yang terbalik di kaki lima itu pada 4.20 petang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 3:00 PM