SYED Alwi menunjukkan produk keluaran Global Tradelink.
SYED Alwi menunjukkan produk keluaran Global Tradelink.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Global Tradelink (M) Sdn Bhd (www.salees.com.my) yakin mencapai sasaran jualan RM5 juta bagi produk makanan di bawah jenama Salees bagi 2015 disumbangkan oleh pasaran tempatan dan eksport.

Pengarah Urusannya Syed Alwi Abu Bakar berkata, pihaknya memperluaskan makanan daging dan ayam salai halal dalam bentuk kios untuk menembusi pasaran.

Katanya, memandangkan daging salai lebih dikenali sebagai makanan popular dalam kalangan masyarakat Cina, pihaknya berjaya menghasilkan makanan jenis itu yang enak dan berkhasiat serta mempunyai diet seimbang.

“Kami menawarkan kepada mereka yang berminat terutama belia untuk menjana pendapatan dengan menjadi rakan niaga Salees dalam bentuk kios.

“Terdapat dua pakej disediakan iaitu Klasik dengan modal permulaan RM6,500 termasuk kios lengkap, peralatan, penjana kuasa caj semula dan bahan mentah,” katanya.

Manakala pakej Premium (RM9,500) mempunyai kelengkapan sama seperti Klasik, namun ada tambahan kios dimodifikasi untuk membolehkan rakan niaga menjual makanan bergoreng seperti kentang dadu dan keropok lekor.

Syed Alwi berkata, pihaknya menyasarkan 50 kios dibuka di seluruh Malaysia dan menjangkakan ia terus meningkat secara berperingkat.

Menurutnya, konsep kios Salees adalah yang pertama di Malaysia memasarkan Bun Daging Salai halal dengan sos dan serunding kering resipi tersendiri.

“Syarikat mendapat permintaan di Lembah Klang serta Kota Bharu dengan margin keuntungan menjadi rakan niaga sehingga 50 peratus.

“Kami turut menjual daging salai Salees secara online dengan kerjasama Dagang Net melalui myonestop.com.

“Kami juga yakin satu lagi produk iaitu Salees nasi lemak segera akan menjadi pilihan pelanggan kerana boleh dihidang dengan hanya menambah air panas ke dalamnya selama lima minit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:05 AM