BERHENTI sebentar.
REK laluan berkabus menuju ke puncak.
TEMPAT rehat menyajikan minuman panas.
KUMPULAN pendaki memeriahkan ekspedisi Angsi.
BERGAMBAR kenangan di puncak.
Nurul Husna Mahmud & Fairul Asmaini Mohd Pilus


Gunung Angsi di Tanjung Ipoh Kuala Pilah, Negeri Sembilan tergolong antara gunung kecil mesti didaki buat mereka mahu mengenali sukan mendaki. Tersenarai gunung ketiga tertinggi di negeri itu dengan ketinggian 825 meter (2,702 kaki), ia antara tarikan peminat aktiviti ekstrem sekitar Hutan Rekreasi Ulu Bendol dengan trek sepanjang 4.5 kilometer.

Menyentuh mengenai cabaran sepanjang laluan bermula dengan denai kecil hinggalah ke puncak, perjalanan itu tidak harus diperkecilkan apabila permulaan trek menawarkan jalan mendaki mencanak berturut-turut.

Pengalaman mendaki gunung itu julung kali buat penulis secara langsung memberi pendedahan pengalaman sebenar mengenai latihan biasanya diikuti pendaki mengikuti misi pendakian lebih berisiko.

Program kali ini dilaksanakan sekumpulan pendaki wanita termasuk bekas pesakit kanser payudara sebagai persiapan Kempen Kembara Srikandi Prihatin Gunung Elbrus Russia dijangka berlangsung Ogos depan.

Ekspedisi penulis kali ini turut ditemani rakan wartawan, Fairul Asmaini Mohd Pilus dan jurugambar sambilan NSTP Adzlan Sidek menempuh perjalanan lebih enam jam memberi gambaran tugas pendaki tidak boleh dipandang enteng.

Dibantu wakil daripada Persatuan Kembara Negara menerusi Ketua Projek Ummu Farah Haidar Zulkifli lebih mesra dengan panggilan Maira bertindak menjadi jurupandu bersama tiga pendaki lain membuatkan misi menawan puncak berjaya pada jam 1 petang selepas lebih tiga jam perjalanan.

Kata Maira, gunung itu mempunyai dua laluan masuk dan latihan pendakian siri pertama membabitkan kumpulan pendaki kali ini pihaknya memilih laluan pendek.

“Sebenarnya untuk menuju ke puncak ketika ini ada dua laluan dan pilihan untuk latihan pendakian gunung pertama buat kumpulan pendaki misi Kembara Srikandi Prihatin Gunung Elbrus Russia kali ini, kami memilih laluan lebih pendek sebagai memanaskan badan sebelum latihan lebih getir.

“Meskipun pendaki profesional beranggapan latihan mendaki Gunung Angsi jauh bezanya dengan tahap ketahanan dalam misi sebenar, penting pendaki mengikuti aras latihan tertentu daripada latihan santai hinggalah ke tahap ekstrem.

“Ini membantu toleransi tubuh mahupun mental pendaki bagi mendapat persediaan mencukupi menjelang misi sebenar. Selain itu persediaan lain, peserta perlu menghadiri bengkel pemakanan serta pendedahan pengetahuan mengenai risiko dan aspek kesihatan membabitkan aktiviti daki ekstrem,” katanya.

Tidak memperlekehkan ekspedisi sekecil Gunung Angsi, kata Maira memuatkan keperluan penting antaranya ubat-ubatan selain snek ringkas mengalas perut penting untuk perjalanan sehari itu.

“Penting setiap pendaki bersedia dengan keperluan masing-masing seperti ubat termasuk alas lutut dan buku lali bagi mengurangkan risiko kecederaan. Dalam pada itu keperluan kit survival dalam hutan juga diperlukan sebagai persediaan situasi kecemasan seperti hipotermia, kecederaan mahupun tersasar laluan,” katanya yang turut memaklumkan spesifikasi pakaian terutama mengenakan kasut sesuai membantu pendaki melewati laluan cerun dengan selamat.

Kesempatan rehat di kem pertama sebelum menuju ke puncak memberi pengalaman unik buat kumpulan pendaki. Hentian itu menjadi pusat rawat dan rehat (R&R) buat kebanyakan kumpulan pendaki Angsi apabila berpeluang menikmati kopi panas disediakan seorang sukarelawan berusia 50-an.

Dalam perjalanan mendekati puncak tidak dinafikan berdepan detik cemas apabila mengalami kekejangan. Ketika itu perjalanan hanya berbaki 200 meter untuk sampai ke puncak, namun ia pengajaran baik buat penulis yang sering culas bersenam.

Mengakui terpaksa bergelut dengan kesakitan akibat kekejangan, namun kesempatan mempelajari tip penting menerusi rakan pendaki Irwan Yusof Tang Abdullah bertindak sebagai ‘sweeper’ mengenai kepentingan mengenali tubuh membuatkan pengalaman itu dapat ditangani dengan tenang.

Katanya, selain rehat serta latihan cukup, persiapan seperti garam rehidrasi mahupun isotonik diperlukan membantu pendaki mengelak kekejangan. Gerakan senaman tertentu bertujuan merehatkan otot juga penting diamalkan pendaki.

Dalam ekspedisi ini prestasi pendaki yang juga bekas pesakit kanser payudara Renee Aziz Ahmad, 55, kekal cergas sehingga ke penghujung perjalanan mendorong kami cekal menghabiskan misi ini.

Tiada rahsia melainkan persiapan penting dalam mengharung keadaan lebih ekstrem pendakian Elbrus nanti membuatkan dia memberi komitmen penuh terhadap latihan dianjurkan Persatuan Kembara Negara.

“Semestinya sasaran saya untuk sampai ke puncak. Itu penting membuktikan tidak mustahil bekas pesakit kanser mampu menggalas misi penting berkenaan. Diharap usaha saya memberi harapan kepada kumpulan sasaran mengenai kepentingan menikmati kehidupan selain memilih gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Dalam mendekati hari misi, selain mengikuti latihan mendaki, Renee turut mengikuti latihan trek balapan, gimnasium selain rutin senaman harian seperti berenang serta joging.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:06 AM