X
Agensi

London: Jurulatih Manchester City Pep Guardiola mengesahkan Gabriel Jesus (gambar) akan kembali bermain sebelum hujung musim ini.

Pemain berusia 19 tahun itu sudah selesai menjalani pembedahan kaki dan kini dalam proses akhir pemulihan dan bakal kembali ke Sao Paolo untuk berehat.

Dia yang dilihat menjalani latihan di kolam air panas untuk menguatkan semula kakinya dan tidak lama lagi Jesus akan berlatih di padang.

Guardiola berkata: “Balutan kakinya sudah dibuka. Dia sudah mula berjalan dan kami harap dia akan kembali berlatih di padang serta boleh berlari.

“Saya harap dia dapat membantu kami pada perlawanan terakhir musim dan kembali cergas sepenuhnya pada sesi pramusim nanti.”

Jesus menjalani pembedahan kaki di Barcelona bulan lalu dan dia dirawat oleh doktor yang dipilih sendiri oleh Guardiola, Ramon Cugat.

Awalnya, proses pemulihan Jesus dijangka berlangsung selama tiga bulan dan jika keadaan itu berlaku, sukar baginya untuk kembali bermain pada baki musim ini.

Tetapi kakitangan perubatan City kagum dengan kepantasan yang diambil Jesus untuk sembuh dan difahamkan balutan di kakinya sudah boleh dibuka lebih awal berbanding biasa.

Aksi terakhir City di peringkat liga musim ini ialah dengan menentang Watford pada 21 Mei.

Final Piala FA akan berlangsung seminggu kemudian, jika skuad kendalian Guardiola itu berjaya mengatasi Arsenal di separuh akhir bulan depan.

Malam ini, City akan berdepan skuad kendalian Arsene Wenger dan perlawanan itu dilihat sangat penting kepada kedua-dua pasukan.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Emirates akan memainkan peranan penting dalam usaha mereka untuk menamatkan musim di kedudukan empat teratas.

Piala FA pula menjadi peluang terakhir buat Guardiola dan Wenger memenangi sesuatu musim ini.

“Perlawanan ini penting buat kami dan Arsenal juga,” kata Guardiola. “Tetapi, lawan kami selepas ini, Chelsea, Hull City, Southampton semuanya bukan mudah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:09 AM