FOTO Shamsudin Husin
Zatul Iffah Zolkiply dan Shamsudin Husin


Chukai: Akauntan sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Hazrin Izzudin Jamaluddin, 44, bapa tunggal anak tiga itu didakwa terhadap pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, Hazrin didakwa menerima RM450,347 yang juga hasil aktiviti pengubahan wang ke dalam akaun di Bank Islam (M) Bhd cawangan Kemaman di Bank Islam (M) Berhad Jalan Kubang Kurus, antara 20 Oktober 2014 hingga 26 Januari 2015.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 11:10 AM