Ahmad Fauzi dan Rusaila menunjukkan surat tuntutan terhadap sembilan pihak berkaitan kejadian buli menimpa anaknya. FOTO Ghazali Kori

Kuala Terengganu: Seorang pelajar yang menjadi mangsa buli memfailkan tuntutan sebanyak RM2 juta terhadap sembilan pihak termasuk lima pembulinya di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Tuntutan pelajar berusia 16 tahun itu dibuat menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 46, berkaitan kejadian buli di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Wakaf Tembesu pada 26 April 2015 hingga menyebabkannya mengalami kecederaan dan tekanan perasaan.

Selain saman terhadap lima pembulinya yang juga bekas pelajar seniornya, remaja berkenaan turut menamakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SESMA, bekas Pengetua SESMA, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia dalam tuntutannya.

Ahmad Fauzi berkata, tuntutan itu dibuat untuk menyedarkan pihak yang bertanggungjawab dan masyarakat bahawa buli adalah budaya amat merbahaya jika dibiarkan serta kejadian berkenaan menyebabkan anaknya sakit dan berubah sikap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 12:27 PM