Mayat enam sekeluarga yang maut yang berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital. - Foto Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Siraj Mohd Zaini


Kuala Kubu Bharu: Polis menahan pemandu treler berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan enam mangsa di Kilometer 403.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Hulu Bernam di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, pemandu berkenaan ditahan bagi diambil keterangan dan pemeriksaan ujian air kencing.

Beliau berkata, polis juga akan melakukan ujian darah terhadap pemandu berkenaan sama ada positif mengambil bahan terlarang atau tidak.

"Siasatan awal mendapati lori bermuatan tanah dipandu lelaki berkenaan terbabas dan terbalik sebelum menghempap kereta pelbagai guna (MPV) dinaiki semua mangsa.

"Pemandu berkenaan hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar," katanya.

Supramaniam berkata, mangsa yang maut ialah Lam Wai Loon, 46, Lam Jie Yang,19, Lam Leong Choy,76, Lam Wai Keat,35, Wong Check Lee, 53 dan Lam Jie Hong,13.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, enam sekeluarga maut di tempat kejadian selepas MPV mereka dihempap treler 10 tan yang terbabas dan terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 3:13 PM