Senapang patah buatan sendiri yang dirampas polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lawas: Lelaki ditahan bersama senapang patah buatan sendiri dan tiga butir peluru di sebuah rumah di Kampung Sahabat Baru, Jalan Merapok, di sini, petang semalam.

Suspek yang berusia 53 tahun itu ditahan polis kira-kira 2.50 petang selepas polis menjalankan intipan dan pemantauan sejak tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati suspek adalah tahanan perintah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Mukah kerana terbabit dalam kegiatan curi kenderaan.

Menurutnya, risikan dan maklumat awam mendapati suspek lari dari sekatan itu dan sudah berada di kampungnya sejak dua bulan lalu.

"Ketika ditahan polis, suspek membawa selaras senapang patah buatan sendiri bersama tiga butir peluru dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 4:02 PM