Asyraf Wajdi menandatangani plak perasmian Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan dan Pelancaran NBOS Perkhidmatan Ambulans dan Pra Hospital Jabatan Kesihatan Kelantan. FOTO Muhd Faris Zainuldin


Pasir Puteh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil aktivis sosial yang juga peguam, Siti Kasim untuk memberi keterangan sebelum mengambil tindakan berhubung kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini kerana disifatkan mengelirukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi tindakan undang-undang akan diserahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam mengikut peruntukan yang bersesuaian termasuk berkaitan akidah.

"Sebagai umat Islam, kita mengambil pendekatan lebih berhemah apabila akan mendapatkan penjelasan beliau (Siti Kasim) terlebih dulu kerana berkemungkinan media tersalah lapor.

"Mungkin juga berlaku kerana kejahilan agama, jadi kita nak tahu daripada mulutnya sendiri dan kita berharap jangan pula dia tidak hadir," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dan Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Perkhidmatan Ambulans dan Pra Hospital, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi yang dibuat Siti Kasim sejak akhir-akhir ini terutama kenyataannya yang disiarkan portal berita bertajuk 'Melalui Getaran, Kita Menghasilkan Tuhan'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:40 PM