Nurul Huda Kosnon dan Mohd Hanafis Abdul Haris


Kuala Kubu Bharu: Enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 403.3 Lebuhraya PLUS berhampiran susur keluar Hulu Bernam, pagi tadi, dikatakan dalam perjalanan ke Bidor, Perak.

Sumber memaklumkan semua ahli keluarga terbabit ke Bidor untuk menyambut perayaan Cheng Beng sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi.

“Mereka ke sana untuk menziarahi dan membersihkan kubur moyang sempena perayaan Cheng Beng. Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila mereka pula terbabit dalam kemalangan,”€ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, mangsa yang maut ialah pemandu, Lam Wai Loon , 46, isterinya, Wong Check Lee, 53, dan dua anak mereka, Lam Jie Hong, 13 dan Lam Jie Yang, 19.

Turut maut adalah bapanya Lam Leong Choy, 76, dan adik, Lam Wai Keat, 35.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila sebuah treler 10 tan terbalik lalu menghempap kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki keluarga terbabit.

Dalam perkembangan lain, suasana di perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bertukar hiba apabila ibu kepada Wai Loon berusia lingkungan 70 tahun dilihat beberapa kali meraung kesedihan sementara menunggu semua mayat dibawa keluar.

Upacara pengebumian dijalankan di Nirwana Memorial Center, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 9:03 PM
Sebahagian ahli keluarga kelihatan sebak di perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kubu ketika proses pengecaman mayat dilakukan. FOTO Saddam Yusoff